Selasa, 31 Julai 2012

MEMBERI LEBIH GEMBIRA DARIPADA MENERIMA



Usai solat subuh pada pagi Selasa ni saya terpanggil dengan tulisan "MEMBERI LEBIH GEMBIRA DARIPADA MENERIMA"..
 
Ramai orang yang gagal dalam hidup ini kerana lebih mementingkan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu, berbanding bagaimana untuk memberi sesuatu, Sedangkan mengikut kajian, orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang banyak memberi.

Kita akan bertanya, bagaimana hal ini boleh terjadi? Bukankah dengan menerima kita akan mendapat lebih, sebaliknya memberi akan mengurangkan.
Ya itu adalah hanya persepsi kita sahaja. hakikatnya amat berbeza. Memberi bukan mengurangkan, tetapi sebaliknya akan menambah.

Sudah menjadi sunnatullah, orang yang berjaya pada tahap biasa-biasa itu ialah orang membawa hanya dirinya seorang sahaja berjaya. Tetapi orang berjaya pada tahap luar biasa ialah orang yang membawa orang lain juga berjaya bersamanya. No man becomes rich unless he enriches others, tidak ada orang boleh kaya hingga dia mengayakan orang lain.

Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau wangi!

Jangan bakhil menabur kebaikan dan bersedekah.
Untuk itu kita mesti amalkan sikap memberi. Kita mesti memberi ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita.

Hakikatnya ini semacam sudah menjadi tradisi hidup para salafussoleh. Lihat sahaja Rasulullah SAW, dikenali sebagai pemimpin yang berjaya, di mana di bawah didikannya lahir ramai pemimpin lain yang berjaya. Antaranya Syaidina Abu Bakar r.a., Umar r.a., dan sebagainya. Begitu juga dalam kalangan ulama-ulama besar, ramai ulama yang dilahirkan hasil didikan Imam al-Syafi'i, Ahmad bin Hanbal, Malik dan Abu Hanifah.

Isnin, 30 Julai 2012

ZIKIR DAN FIKIR




Mohon Ampun Atas Segala Dosa,

"Maka Aku katakan kepada mereka ; Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun". (QS. Nuh 10)
"Niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat". (QS. Nuh 11)
"Dan membanyakan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai". (QS. Nuh 12)

"Barang siapa yang selalu beristighfar, AllahSWT akan menjadikan keluh kesah jadi kegembiraan. Dan kesempitan menjadi keleluasaan". (HR. Ahmad dan Abu Dawud)

Istighfar yang dimaksudkan, bukanlah bacaan tanpa makna yang hanya diucapkan sahaja. Melainkan sebuah bentuk pengakuan dari lubuk hati atas dosa yang pernah dilakukan. Mengakui dengan segala kerendahan hati kepada Tuhan Yang Maha Pengampun dan berjanji untuk tidak mengulanginya dikemudian hari.

Seorang ahli hikmah, Al Hasan Al Jadubah, sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Qurthubi dari Ibnu Shubiih;
  • Bila datang kepadanya seorang mengeluh kerana sengsara, ia hanya menjawab Istighfarlah (minta ampunlah kepada Allah SWT)
  • Datang lagi yang lain mengeluh kerana kelaparan, kemiskinan, kefakiran ia hanya menjawab Istighfarlah.
  • Datang yang lain lagi mengeluh kerana kemarau panjang yang menyebabkan kegersangan kebunnya, ia hanya menjawab beristighfarlah.
Ketika beliau ditanya mengapa jawabannya tidak lebih dari Istighfar? Beliau menjawab, saya tidak mengarang sendiri, ini adalah petunjuk dari Allah SWT. Lalu beliau membacakan QS. Nuh 10-12.

Sabtu, 28 Julai 2012

SALAM RAMADHAN (3)





Perlu disedari, merayakan puasa ini bukan hanya amalan penganut agama Islam. Penganut agama Hindu sebelum membayar niat membawa Kavadi di Batu Caves juga akan berpuasa. Penganut agama Yahudi juga berpuasa untuk menyambut hari kebesaran Yom Kippur. Dalam pelbagai mazhab, agama Kristian ada ritual berpuasa.

Ada arahan agama yang melarang makan dari subuh hingga senja. Ada yang berpuasa setelah makan tengah hari seperti amalan harian para rahib dan sami yang tinggal di Pagoda. Ada berpuasa yang hanya menolak daging dan makanan berdarah. Dari semenjak zaman kuno lagi, amalan berpuasa ini telah wujud. Manusia merasa bersyukur dan berterima kasih kepada Yang Maha Esa kerana telah memberikan mereka nikmat makanan.
Dari segi teorinya, jika kita tidak makan dan kita berlapar, maka kita akan merasakan betapa nikmatnya makanan yang ada disekeliling kita. Dari segi teorinya, apabila kita berlapar, maka sang penganut agama akan berupaya untuk merapati Tuhan. Dari segi teorinya dikatakan jika kita berpuasa, maka kita akan sama merasakan bagaimana kelaparan selalu menyerang fakir miskin yang tergelincir makan.

Semua hujah dari teori-teori  ini telah saya dengar ketika saya membesar. Teori ini makin banyak kedengran ketika bulan Ramadan. Teori-teori ini semuanya dilihat indah dan suci jika kita memandang sekali imbas.  Paling tepat pandangan teori ini ialah, apabila berpuasa kita akan merasa lapar. Apakah kelaparan berpuasa, ini akan membuka kesedaran hakiki untuk memahami makan, makanan, lapar dan kelaparan.
Kita sering melihat imej-imej kelaparan. Imej-imej ini atau lebih tepat lagi imej kebuluran di Ethiopia telah sama-sama kita lihat pada tahun-tahun 80-an dahulu. Kini, imej-imej ini telah beralih pula ke Somalia dan ke Sudan. Imej rangka anak-anak kecil yang kebuluran tidak makan ini tidak ada sangkut paut dengan amalan agama atau berlapar untuk mencari ketenangan hidup. Apa yang berlaku ialah kemarau yang melanda dan telah memusnahkan tanaman.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh kacau bilau politik atau perang. Justeru, saya ingin menimbulkan satu jalur wacana tentang lapar. Dari mana lapar datang? Kenapa ada yang lapar tanpa makanan? Kenapa ada pula yang ditimbuskan oleh bertimbun-timbun makanan. Rasa saya pada bulan Ramadan ini adalah masa ketika yang tepat untuk kita semua memahami kenapa ada yang lapar, ada yang berlapar, ada yang sengaja nak lapar.
Kita selalu terbaca bagaimana kemarau berpanjangan yang mengakibatkan kebuluran. Imej dan kisah-kisah kebuluran ini sering kita ketahui datangnya dari Afrika. Pada tahun-tahun 90-an dahulu, warga dunia juga telah mendengar tentang kebuluran yang telah menimpa Korea Utara.

Kalau di Ethiopia dan Somalia punca kebuluran ialah kemarau, manakala di Korea Utara puncanya ialah banjir. Kering-kontang akan membunuh semua tanaman. Bumi yang subur akan menjadi kering berdebu. Bila diampuh oleh air, tanaman juga akan mati. Tak ada air manusia akan kebulur tak makan. Terlalu banyak air pun, manusia akan kebulur tak makan. Lihat betapa paradoksnya perjalanan hidup manusia ini.

Sebenarnya, kebuluran yang wujud dalam dunia hari ini adalah hasil kraftangan manusia sendiri. Tidak betul apabila dikatakan bahawa dunia hari ini kekurangan makanan. Ini satu pembohongan. Dengan teknoloji tercanggih, dengan teknik pertanian moden - manusia seluruh dunia tidak perlu puasa untuk kebulur. Pengeluaran makanan dalam dunia ini mencukupi untuk warga dunia - ini kenyataan dari FAO - lembaga makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Untuk memahami kenapa ada lapar mari kita lihat Sudan. Negara di selatan Mesir ini dilintasi oleh Sungai Nil. Ini menjadikan Sudan wilayah bumi yang subur. Mengikut kajian, penghasilan makanan di Sudan sahaja telah cukup untuk memenuhi keperluan makanan untuk semua negara Arab. Tetapi ini hanya kajian. Hakikatnya, kebuluran sering menyerang Sudan.
Kebuluran di Sudan ini bukan kerana Tuhan murka. Bukan kerana warga Sudan dilaknati. Memang betul ada bencana alam. Tetapi bukan ini yang menyebabkan kebuluran - tetapi perang merebut 'wilayah minyak' yang tidak diumumkan kepada dunia - sedang membulurkan warga Sudan.
Kemudian kita beralih ke India. Dari India kita selalu terlihat imej anak kecil yang tulang-tulang rangka tidak terbarai kerana diikat oleh kulit badan. Dengan mata buntang Sang Ibu yang mengendong anak ini sedang  menghulur tangan, meminta-minta serpihan makanan. Kadang-kala kita melihat imej ratusan orang-orang kampung kurus kering sedang duduk mencangkung kerana telah berpuasa berbulan-bulan tanpa sahur atau tanpa jemputan ke bufet Ramadan.

Apa yang jelas disini bukan dunia kita ini kekurangan makanan. Tetapi hakikatnya pengagihan makanan ini tidak adil. Ketidakadilan pengagihan makanan inilah punca utama yang menimbulkan kebuluran. Bencana alam dan kacau bilau politik hanya rempah rampai untuk menambahkan lagi kebuluran itu.

Imej ibu dan anak-anak yang kurus kering dari India atau Afrika itu sebenarnya tidak menggambarkan apa yang sebenarnya terjadi. Gambar kebuluran di Darfur tidak menceritakan bagaimana orang-orang kampung telah dihalau keluar kerana dibawah tanah pertanian mereka terdapat telaga minyak. Begitu juga di India, orang-orang kampung ini dipaksa pindah kerana tanah-tanah pertanian mereka kini diperlukan untuk dijadikan wilayah perindustrian. Atau tanah pertanian mereka di rampas tuan tanah atau tergadai kerana hutang.

Kaum tani ini bergantung hidup kepada tanah. Walaupun mereka tidak memiliki tanah yang luas, tetapi mereka boleh bercucuk tanam untuk mendapat bahan makanan. Ramai pula yang tidak bertanah - mereka ini menjual tenaga bekerja mencari makan menjual tenaga sebagai buruh tani di ladang dan sawah. Apabila tanah-tanah pertanian ini diubah suai untuk dijadikan bandar baru atau kawasan perindustrian, maka disinilah munculnya bibit kelaparan.

Untuk memahami bagaimana miskin dan lapar datang, mari kita lihat apa yang sedang berlaku di Johor. Pada ketika ini, seramai 30,000 orang kampung - nelayan dan petani - di Pengerang sedang diancam. Sebanyak 18 buah kampung dengan keluasan 22,500 ekar tanah pertanian akan diambil alih oleh kaum pemodal untuk dijadikan loji, takungan dan tempat penapisan minyak. Orang orang kampung di Pengerang sedang dipaksa untuk menjualkan tanah kampung mereka.

Kalau di India atau di Sudan, orang-orang kampung ini akan hanya dihalau keluar. Tanah mereka akan dirampas. Di Malaysia ini, kalau mengikut hati sanubari para Towkay dan Si Pemaju, orang-orang kampung di Pengerang ini juga wajib dihalau dan tanah mereka wajib dirampas. Ini untuk mengurangkan kos pembinaan dan mengurangkan duit pampasan.
Pak Tani yang telah beratus tahun bekerja mengeluarkan makanan kini wajib dipindah entah kemana. Nelayan yang sebati dengan laut kini dinaikan ke darat. Pak Tani dan Sang Nelayan ini menghasilkan makanan. Mereka tidak pernah lapar. Mereka tidak pernah kebulur. Tetapi apabila punca penghasilan makanan mereka dirampas, maka dari sinilah punca kelaparan dan kebuluran bermula.

Kita jangan merasa angkuh untuk berbangga dan mendabik dada berkata - tidak ada kebuluran di Malaysia.  Jangan lupa dengan detik sejarah. Pada bulan Disember tahun 1974 dahulu, ribuan orang-orang kampung, warga di Baling, Kedah telah keluar ke jalan raya kerana kebuluran. Mereka lapar tak makan kerana mereka miskin.
Justeru, pada anggapan saya, ceramah-ceramah Pak Lebai dan Pak Ustaz yang cuba menerangkan hikmah berlapar dalam bulan puasa ini - tidak mencukupi. Merasakan kelaparan para fakir miskin setahun sekali tanpa memahami kenapa mereka lapar dan bagaimana lapar datang adalah kuliah setengah jalan. Kelaparan fakir miskin yang kita rasakan ketika kita berpuasa pada bulan Ramadan ini tidak lengkap. Kita bukan hanya berkongsi merasa lapar tetapi seharusnya kita juga tidak mahu lagi sesiapa pun terus merasa lapar.

Berpuasa di bulan Ramadan  ini juga seharusnya membukakan fikrah kita untuk menjangkau lebih mendalam. Berupaya untuk melihat satu-satu fenomena itu bukan hanya dikulit  atau dibaju. Kelaparan yang sedang dirasakan ketika berpuasa seharusnya menenangkan fikrah untuk berupaya melihat alam secara menyeluruh.

Melihat alam ertinya melihat bagaimana bencana alam - banjir, taufan, kemarau - sebenarnya lahir dari rekacipta manusia itu sendiri. Bencana alam yang melahirkan kebuluran itu juga adalah hasil tanda kerakusan manusia merobek alam. Jika ketenangan fikrah yang dicari oleh penganut Islam dalam bulan Ramadan ini gagal untuk memaksa kita bertanya diri - kenapa ada yang lapar? Atau mencari jawapan kenapa ada yang lapar - walhal makanan bertimbun-timbun. Maka berlapar itu hanya dilakukan untuk berlapar kerana mengekor  semua warga Islam  yang berlapar pada bulan ini.
Jika warga Islam berpuasa hanya untuk merasakan lapar tanpa memahami agenda kemiskinan, maka berlapar sedemikian hanya ritual. Para ritualis yang lapar ini adalah mangsa terbaik untuk tuan empunya hotel yang sedang menyediakan 'Buffet Ramadan 100+++' yang telah mendapat tauliah 'halal' dari Jakim.

Ahad, 22 Julai 2012

SALAM RAMADHAN (2)








Assalamu'alaikum Wr. Wb.

Bulan puasa sudah bermula, pasti apa yang anda fikirkan sekarang adalah makanan yang sedap dan menu yang dimahukan ketika berbuka puasa kelak. Namun adakah anda titikberatkan menu ketika bersahur dimana anda harus bertahan sampai ke penghujung masa berbuka masa yang memerlukan anda menahan lapar lebih kurang 12 jam sehari.

Ketika bersahur anda disarankan mengambil makanan yang berasaskan tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan juga makanan yang berasaskan serat yang terdiri daripada roti dan juga air mineral dengan kuantiti yang banyak.

Terdapat beberapa menu makanan yang disenaraikan di bawah baik untuk anda ketika bulan puasa!

Sayuran-sayuran dari serat hijau (Fibregreen)
Pengambilan sayuran hijau mampu melambatkan proses penghadaman sekaligus melambatkan keinginan untuk makan. Selain baik untuk kesihatan dan juga perut, daun hijau seperti sederi dan juga lobak merah memang baik untuk proses penghadaman.

Karbohidrat
Maksud bijirin adalah seperti roti serat yang dijual mempunyai kanduagan gandum (Wheat) . Anda boleh memakan roti putih namun lebih digalakkan memakan roti yang terdiri daripada bijirin kerana rotinya lebih tebal akan membuat anda lambat lapar. Selain daripada itu juga variasikan menu anda agar tidak bosan, pilih la menu dari produk kekacang seperti kacang dal ataupun minuman barli ketika bersahur. Penuhkan dengan menu tersebut agar anda kekal cerdas untuk bekerja di siang hari.

Makanan protein
Kurangkan memakan nasi tetapi lebihkan pengambilan lauk dari menu berasaskan daging, terutama sekali dari resepi ikan. Ikan sememangnya antara menu yang harus anda hidangkan untuk seisi keluarga ketika bersahur.

Kurma
Sebelum tamat waktu bersahur, seelok-eloknya pengambilan kurma harus dititikberatkan kerana kurma adalah antara makanan yang memang penuh dengan khasiat dan vitamin, antara khasiat yang terdapat di dalam kurma adalah seperti, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral atau galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Sumber :  Malaysia Yahoo.com

Jumaat, 20 Julai 2012

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL- MUBARAK



AJK  Pertubuhan Penduduk Taman Warisan mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan  mengerjakan ibadah Puasa untuk tahun 1433H/2012M kepada semua umat islam dan khususnya kepada  seluruh warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat. Semoga kesejahteraan, keharmonian, keindahan dan kekuatan ukhwah Penduduk Taman Warisan semakin mantap..



'Sekiranya umatku mengetahui kebaikan dalam bulan Ramadhan
nescaya mereka menginginkan sepanjang tahun 
semuanya  menjadi Ramadhan.'
(Riwayat : At-Tabrani)


- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,
  Batu Pahat, Johor.



Khamis, 12 Julai 2012

KISAH INSPIRASI : SI BUTA DAN MATAHARI


Sebuah kisah seorang anak kecil yang semenjak lahir buta kedua – dua belah mata. Dia tidak tahu sama sekali bentuk matahari, biasanya dia hanya mendengar orang lain berkata,” Matahari, matahari !”. Oleh sebab itu dia bertanya kepada orang lain bagaimana bentuk matahari itu.

Pada suatu hari, si buta kecil itu bertemu dengan seseorang, lalu dia bertanya pada orang ini, “Bolehkah kau jelaskan padaku bagaimana bentuk matahari itu?
Lalu orang ini berkata,“Bentuk matahari seperti bola, tetapi besar !” dan orang itu memukul-mukul bola, dan berkata, ” Dug..dug..dug..seperti inilah bentuk matahari “. Setelah mendengar bunyi itu, si buta kecil mengingati baik-baik dalam hati. Sambil berfikir dan berkata, ” Oh, rupanya matahari seperti ini ya..”
Beberapa waktu kemudian, ketika si buta kecil berjalan-jalan dia mendengar bunyi, ” Dug..dug..dug…”
Dia berteriak gembira, ” Matahariku sudah datang, aku mendengar suaranya.”
Pada suatu yang lain, si buta kecil bertemu dengan orang lain pula. Orang ini berkata,” Matahari itu mempunyai sinar nak, seperti lilin.” Dan orang ini mengambil sebatang lilin dan menyuruh dia merabanya. Si buta itu mengingatinya baik-baik bentuk matahari ini, di dalam hatinya berkata, ” Rupanya demikian bentuk matahari ini ya.”
Pada suatu hari, ada seseorang memberinya Sosej, setelah si buta kecil meraba sosej ini. Dia terfikir.” Bukankah ini matahari ?
Dengan gembira dia berteriak, ” Horeeee…aku sudah mendapatkan matahari, matahari sudah berada di tanganku !”

Sebenarnya matahari dengan bola, matahari dengan lilin, Perbezaannya terlalu besar, tetapi bagi si buta kecil ini hanya membuat kesimpulan berdasarkan penjelasan yang serba sedikit dari orang lain, akhirnya tidak dapat mengetahui dengan jelas perbezaan besar matahari dengan benda lain. Begitu juga dengan Orang yang hanya mendengar sedikit penjelasan dari orang lain dan mempercayainya, menganggap diri sendiri sudah bijak dan mengetahui seluruhnya. Orang tersebut perlu dikasihani.
Jika kita ingin mengetahui sebuah kebenaran, Kita harus cermat dan mencari asal sesuatu perkara. Dengan sedemikian baru kita dapat memutuskan perkara tersebut dengan tepat dan boleh dipercayai

- Pengerusi PPTW, Batu Pahat.

Ahad, 8 Julai 2012

PECAH RUMAH DAN KECURIAN DI TAMAN WARISAN





Warga Taman Warisan sekalian,
Berlaku kejadian 'Pecah Rumah dan Kecurian'  pada hari Sabtu (awal petang) 7 Julai  2012 di rumah En. Saihuddin Salman dan Pn. Rosnah Hassan, No. 2, Jalan Warisan 5,   Kejadian 'Pecah Rumah dan Kecurian' ini perlu diambil perhatian yang serius. Oleh itu diminta warga Taman Warisan sentiasa berwaspada dan mengawasi keadaan sekeliling dan jika ada aktiviti yang disyaki mencurigakan silalah laporkan kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa tidak akan mengambil apa - apa tindakan terhadap pelapor walaupun setelah disiasat tiada apa yang mencurigakan, selagi niat kita melaporkan hanya untuk melindungi diri dan warga taman amnya.

Kepada tuan/puan mangsa yang terlibat, pihak AJK empati dan simpati dan diharapkan dapat bersabar atas dugaan-Nya ini. Jika ada info yang hendak dikongsi bersama atau bantuan yang diperlukan bolehlah dimaklumkan kepada AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan. 

Pihak AJK melalui Biro Keselamatan telah memohon kerjasama pihak Ketua Polis Daerah supaya dibuat pemantuan dan rondaan di dalam kawasan Taman Warisan ini. 

Mohon kerjasama kepada semua ahli supaya lebih berwaspada dan ingat mengingatkan sesama ahli.

 

Sabtu, 7 Julai 2012

3 TIPS UNTUK LEBIH SEGAR

 

Rasa tidak bersemangat untuk habiskan kerja yang tertangguh setelah seharian berada di pejabat. Dengan kerja yang tidak menentu, pasti badan akan berasa cepat penat dan letih.

Ikuti 3 tips ini untuk anda berasa lebih segar untuk bekerja dan menamatkan aktiviti harian anda!

Ambil masa untuk lelapkan mata
Ramai percaya tidur sebentar pada waktu tengahari baik untuk tubuh. Jadi dapatkan tidur di waktu malam secukupnya. Pada waktu tengahari ambil masa setengah jam untuk segarkan tubuh badan kita yang pasti memerlukan rehat dari segi fizikal dan minda untuk menamatkan hari bekerja dengan produktif.

Minum air bersama hirisan sitrus
Sebaiknya minum segelas air dengan hirisan lemon sejurus selepas anda bangun dari tidur. Ini untuk mengejutkan metabolism anda untuk lebih bersemangat untuk memulakan hari anda.

"Hirup" lebih cahaya
Pasti anda biasa melihat meja makan yang disusun di kebanyakkan rumah di luar negara pasti bersebelah dengan tingkap bukan? Bukan sahaja menjadi salah satu ruang dekorasi namun ianya mempunyai kelebihan jika kita bersarapan di tepi tingkap. Cahaya yang masuk akan menyekat pengeluaran melatonin, hormon yang memberi isyarat kepada tubuhmu untuk tidur. Jadi cuba ubah sekali-sekala arah meja makan anda agar dapat memberikan kebaikan untuk kesihatan diri anda.