Isnin, 17 September 2012

CERITA TENTANG KAHWIN






Belanja kahwin mahal punca ramai pemuda Melayu berhutang

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Amran (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun, tinggal di perumahan rumah pangsa di Vista Angkasa, Kuala Lumpur, baru melangsungkan perkahwinan dengan isterinya kira-kira setahun lalu.

Tetapi, hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi menyebabkan beliau kini berhutang hampir RM25,000 dan diburu oleh “Ah Long”.

“Saya tidak ada banyak pilihan,” jelas Amran yang merupakan seorang penyelia kilang di Petaling Jaya dan hanya memperoleh gaji RM1,500 sebulan.

“Tiap-tiap bulan saya terpaksa menghabiskan lebih dari separuh gaji saya hanya untuk membayar hutang.

“Puncanya, keluarga sebelah isteri saya meletakkan hantaran sebanyak RM12,000 kerana isteri saya seorang graduan diploma di universiti tempatan, dan termasuk belanja kahwin dan kenduri, semuanya berjumlah RM25,000.

“Jadi, dengan pendapatan saya yang berjumlah RM1,500, tolak bayaran sewa rumah dan ansuran kereta lagi, saya tidak mampu untuk menanggung hutang sebegini.”
Dalam adat perkahwinan Melayu-Islam di Malaysia, terdapat dua jenis hantaran, iaitu mas kahwin dan hantaran perkahwinan.

Mas kahwin, juga dikenali sebagai “wang belanja tubuh”, telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam peringkat negeri, berbeza dengan hantaran perkahwinan.
Bayaran mas kahwin ini diwajibkan dalam agama Islam, manakala hantaran perkahwinan pula bersifat adat resam dan tidak ada kewajiban untuk membayarnya.
“Hantaran perkahwinan inilah yang membebankan orang ramai dari perkahwinan,” menurut Azri Mukhris, 27 tahun, seorang yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.

Kata Azri, beliau dan pasangannya terpaksa mengikat perut sejak tahun lalu bagi memastikan mereka dapat berkahwin sebelum hujung tahun ini.
Ini kerana tekanan masyarakat itu sendiri menyebabkan ahli keluarga terpaksa meletakkan harga sedemikian.

“Semasa upacara merisik, kami membincangkan tentang harga hantaran, memandangkan pasangan saya merupakan seorang graduan ijazah sains, maka harganya lebih tinggi.
“Jadi sebab itu, mahu tidak mahu, saya perlu menyimpan agar dapat menyempurnakan majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.”
Bila ditanya berapa harga hantaran perkahwinan, Azri enggan memberi jumlah keseluruhannya.

“Apabila berkahwin ni, banyak komitmen yang perlu diberikan, antaranya perlu membayar hutang membeli rumah, membeli kereta,  kemudian pinjaman peribadi untuk melangsungkan perkahwinan, dan beberapa tahun lagi apabila sudah mempunyai anak, kena membeli persiapan untuk kelahiran anak pula.

“Itu belum lagi bila anak itu sudah membesar dan sudah mula bersekolah,” kata Azri lagi.
Masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi dikenal pasti sebagai punca utama kes perceraian pasangan muda di ibu kota.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, berkata kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan.

Biasanya pasangan terbabit adalah mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru.

Mereka khususnya suami tidak bersedia dalam aspek kewangan, lebih-lebih lagi sara hidup yang tinggi di ibu kota berbanding pendapatan yang mereka peroleh.

Menurut kenyataannya kepada Berita Harian hari ini, bilangan kes perceraian di ibu kota yang direkodkan JAWI turun secara mendadak apabila sehingga Julai tahun ini hanya membabitkan 64 kes berbanding 1,828 kes sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di ibu kota setiap tahun dianggarkan 20,000 orang dengan kira-kira 10,000 orang adalah golongan muda.

Tujuh tahun pertama usia perkahwinan adalah tempoh paling kritikal kerana hampir 28 peratus perceraian berlaku dalam jangka waktu berkenaan.
“Kebanyakan kes perceraian dalam tempoh itu pula membabitkan pasangan muda berumur bawah 30 tahun ke bawah,” katanya.

Statistik dalam laman web Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat mencatatkan penceraian pada tahun 2011 telah menurun iaitu 27,355 kes berbanding tahun 2010 iaitu 28,035 kes.
Bagaimanapun, menurut timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, kadar itu masih membimbangkan biarpun penurunan sebanyak 2.5 peratus.
Dr Mashitah berkata, Selangor mencatatkan jumlah perceraian paling tinggi iaitu sebanyak (4,409 kes), diikuti Johor (3,021 kes) dan Kelantan (2,429 kes).

Hadzrien (bukan nama sebenar), 26 tahun, bercerai dengan isterinya yang tiga tahun lebih muda berkata, masalah kewangan adalah punca perceraian dia dan isterinya.
“Saya telah berkahwin dengan bekas isteri saya setahun yang lalu, tetapi oleh kerana belanja perkahwinan yang tinggi, disamping masalah kewangan serta pinjaman bank terlalu tinggi menyebabkan saya terpaksa bercerai dengannya.

“Saya telah cuba berjimat cermat, tetapi tuntutan kehidupan di kota yang mahu perbelanjaan yang tinggi menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung isteri saya lagi, lalu kami membuat keputusan untuk bercerai,” kata Hadzrien lagi.
Katanya, pinjamannya yang berjumlah hampir RM20,000 itu terlalu sukar untuk dibayar, hinggakan dia terpaksa menjual kereta Proton Satrianya.

“Walaupun sudah bercerai, namun beban untuk membayar hutang bank akibat wang hantaran tinggi dahulu masih lagi perlu saya bayar.
“Perkahwinan sepatutnya menjadi masa yang terindah, tetapi kerana pinjaman serta kadar bunga tinggi, kerana hantaran perkahwinan yang tinggi menyebabkan ia menjadi azab dalam hidup saya,” kata Hadzrien lagi.
  
Sumber : 
 


  

Ahad, 16 September 2012

PROGRAM "REWANG KENDARAT"




Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Perserai, Batu Pahat telah menjalankan aktiviti "Rewang Kendarat" di majlis walimatul urus puteri pasangan En. Roslee bin Ahmad dan Pn. Jamiah binti Amad Salan, di No. 2, Jalan Warisan 7, Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, pada 14 September dan 15 September 2012.
 

Alhamdulillah penduduk yang hadir telah bergotong-royong dengan semangat kerjasama yang tinggi. Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua yang hadir membantu semasa gotong-royong "Rewang Kendarat" berkenaan. Semoga semangat ini berterusan demi kesejahteraan, keharmonian, keindahan dan kekuatan ukhwah penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.

- Pengerusi PPTW, Batu Pahat.

Sabtu, 15 September 2012

SELAMAT PENGANTIN BARU DAN MENERIMA MENANTU




Assalamu'alaikum Wr. Wb.
Alhamdulillahirabbil alamin,

AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT kerana aktiviti "Rewang Kendarat" untuk majlis walimatul urus puteri En. Roslee bin Ahmad di No. 2, Jalan Warisan 7, Taman Warisan; dapat dilakukan dengan sebaiknya.. AJK juga mengucapkan Selamat Pengatin Baru dan Selamat Menerima Menantu kepada ahli penduduk Taman Warisan yang melangsungkan perkahwinan dan menerima menantu pada 15 September 2012 (Sabtu), khususnya untuk keluarga En. Roslee bin Ahmad dan keluarga Tn. Hj. Mohd Shah bin Hamdan.  Semoga diberkati oleh Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami,
Satukanlah hati kedua mempelai,
Seperti Engkau satukan Adam dan Hawa,
Muhammad S.A.W dan Siti Hadijah,
Semoga kekal hingga ke akhir hayat serta
Kurniakanlah kepada mereka zuriat
yang soleh dan soleha serta
rezeki halal yang melimpah ruah

Amin Ya Rabbal Alamin.

- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,
  Batu Pahat, Johor.

Khamis, 13 September 2012

TIPS UNTUK CEMERLANG & PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN


Peperiksaan UPSR sudah berlangsung, namun ibu bapa dan pelajar yang menanti ketibaan hari yang penuh debaran dan mencabar iaitu tarikh peperiksaan PMR, SPM dan STPM dengan seribu bauran perasaan.  Peperiksaan PMR tinggal 25 hari  Peperiksaan SPM dan STPM pula berbaki 53 hari lagi.  Di sini diperturunkan beberapa tip untuk cemerlang dan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan khususnya bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil PMR, SPM dan STPM 

Tip ini sebagai panduan pembelajaran dan persediaan anda.
Tip ini di ambil dari akbar berita harian untuk pekongsian kita bersama. Antaranya ialah :
 
1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.
Jadi, bagaimana persediaan anda sekarang ? Adakah anda sudah benar-benar bersedia? 
 
- Pengerusi PPTW


Rabu, 12 September 2012

SELAMAT MENEMPUH UPSR 2012







AJK PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN UPSR 2012
KEPADA SEMUA CALON UPSR 2012, KHUSUSNYA ANAK-ANAK
WARGA TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT. SEMOGA MERAIH KECEMERLANGAN YANG MENJADI IMPIAN.


- Pengerusi & AJK PPTW

Isnin, 10 September 2012

"BONGGOL JALAN" DI JALAN WARISAN UTAMA






Alhamdulillah, permohonan membina "Bonggol Jalan" di Jalan Warisan Utama kepada MPBP ( Permohonan telah dimajukan kepada MPBP pada 24.11.2011) telah diluluskan. Pada 7 September 2012, dua "Bonggol Jalan" telah dibina di Jalan Warisan Utama. Terima kasih diucapkan kepada MPBP atas keprihatinan ini dan terima kasih juga untuk  Penghulu Mukim 3 Peserai, Batu Pahat, Tn. Hj. Mohamed Yusof bin Abu Bakar yang membantu dalam urusan permohonan "Bonggol Jalan" ini menjadi realiti.  Semoga dengan adanya kemudahan ini akan memberikan kebaikan untuk semua warga Taman Warisan, Batu Pahat.


- Pengerusi PPTW

Selasa, 4 September 2012

ZIARAH HARI RAYA AIDILFITRI & MARHABAN 1433H/2012M









 
 Program kunjung mengunjung sambil bermarhaban sempena Hari Raya Aidilfitri 1433H/2012M, Taman warisan, Batu Pahat telah diadakan bermula pada 27 Ogos 2012  hingga 31 Ogos 2012. Kemeriahan aktiviti ini dengan adanya sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di setiap Jalan atau lorong mengikut jadual yang telah diatur. Jamuan penutup dan cabutan 'Keluarga Bertuah'  tahun ini diadakan di Jalan Warisan 6, Taman Warisan  pada  malam terakhir. Jumlah pungutan "Tabung Ukhwah Syawal" 1433H/2012M ialah RM 1000.00. Terima kasih dan tahniah  kepada semua yang telah menghulurkan sumbangan.

  AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Batu Pahat mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Taman Warisan yang menjayakan aktiviti ini. InsyaAllah bertemu lagi di tahun hadapan. Mohon ampun dan maaf daripada AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan. 

Akhirnya renungkan bait-bait kata di bawa :

Dalam rumah, ada manusia, dalam manusia ada hati... hati manusia yang berada di rumah itu lebih berharga daripada rumahnya.
Dalam kereta, ada manusia, dalam manusia ada jiwa... jiwa manusia di dalam kereta itu lebih berharga berbanding keretanya.

Nilai manusia bukan terletak pada barang-barang bernilai yang dimilikinya, tetapi pada hati dan amalannya yang dinilai oleh Tuhannya. 
- Pengerusi PPTW