Rabu, 31 Oktober 2012

TOMATO OH TOMATO



Kewujudan banyak produk kecantikan di pasaran, adakala kita terlupa pada amalan dahulu kala menggunakan bahan semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai agen kecantikan. Selain boleh dimakan, kandungan nutrisi serta vitamin pada buah-buahan segar ini membantu menjadikan kulit lebih sihat, cantik dan berseri. Lebih penting sama ada dijadikan pembersih, penyental atau masker, kandungannya benar-benar bersih tanpa campuran bahan kimia.

Tomato atau nama saintifiknya Iycopersicon esculetum sememangnya digemari ramai. Sama ada dimakan begitu sahaja atau digandingkan dalam pelbagai jenis masakan, tomato menjanjikan keenakan tersendiri. Hidangan Mediterranean dan Asia Barat menjadikan tomato sebagai bahan asas yang paling kerap digunakan.

Berasal dari keluarga Solanaceae, tomato kaya dengan zat besi, serat serta vitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan badan.
Ia juga mengandungi fruktosa, glukosa, asid folik, potasium, kalsium dan mineral garam.

Khasiat tomato juga berkait rapat dengan kecantikan kulit. Sayuran ini dikatakan berkesan untuk mengecilkan liang roma, mengurangkan masalah jerawat dan merawat penyakit kulit. Elemen penyejuk juga mampu menyejukkan kulit yang kasar, astringen untuk menghapuskan minyak berlebihan, dan vitamin A dan C untuk mencerahkan kulit kusam dan mengembalikan keremajaan kulit.

Tomato boleh merawat masalah kulit seperti jerawat . Hancurkan tomato segar dan sapu rata bahan tersebut pada kulit muka yang berjerawat. Biarkan sejam atau lebih sebelum dibilas dan dikeringkan. Buat setiap hari sehingga jerawat itu hilang. Ia juga boleh membersihkan kulit wajah anda. Dengan menggunakan campuran tomato dan avokado amat sesuai untuk kulit kombinasi (berminyak, biasa dan kering) kerana ia menggabungkan astringen dan antiseptik yang boleh mengurangkan kandungan minyak serta noda hitam pada kulit.

Topeng penyegar muka ini kaya dengan vitamin A, C dan E dimana kesemuanya penting untuk kulit yang sihat. Untuk membuat topeng muka ini, hancurkan tomato dan avokado dalam mangkuk dan sapukan pada muka, bilas selepas 20 ke 30 minit.

Menggunakan cara yang mudah, tanpa mengeluarkan belanja yang banyak sesiapa juga boleh melakukannya. Sama ada buah-buahan ini diletakkan pada wajah begitu saja atau dilenyek dijadikan masker, jika dilakukan secara berkala akan memberikan kesan menakjubkan pada kulit.

Namun sebelum memakainya pada wajah, jangan lupa cuci atau bersihkan wajah terlebih dulu. Ada baiknya sekiranya menggunakan air suam supaya liang roma lebih terbuka dan mampu meresap nutrisi daripada bahan semula jadi ini pada kulit wajah anda.


Khamis, 25 Oktober 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1433H/2012M



InsyaAllah kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha 1433H/2012M  pada 26 Oktober 2012 (Jumaat). Sehubungan dengan itu Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1433H/ 2012M dan Maaf Zahir Batin kepada semua penduduk Taman Warisan.

Kepada penduduk yang akan balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga dinasihatkan supaya berhati-hati di jalanraya dan mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah untuk mengelakkan berlakunya kejadian kecurian dan pecah rumah. Diingatkan patuhi undang-undang lalu lintas dan ingatlah orang yang tersayang, supaya  selamat. Kami semua mendoakan keselamatan anda semua semoga selamat pulang dan selamat kembali.


Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sepanjang kami melaksanakan tugas mentadbir PPTW ini mungkin ada silap dan salah. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna dan tidak lekang daripada melakukan kesilapan.Teguran yang berhemah sentiasa kami alukan untuk kebaikan bersama. 

  
Qurban itu melepaskan apa yang kita sayang untuk orang yang tersayang kerana YANG MAHA PENYAYANG. Qurban itu maknanya merelakan dirinya susah untuk orang lain yang susah kerana YANG AMAT PEMURAH. Selamat menjalani ibadah qurban dan Selamat menyambut idul adha. Salam Aidiladha.

- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,
  Batu Pahat, Johor.




Isnin, 22 Oktober 2012

SEDEKAH UNTUK SIHAT



Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi. DIpanjatkan doa tanda rasa syukur 
atas segala nikmat.

Perkongsian ilmu hari ini tentang sedekah. Sangat banyak yang dikongsikan di sini. Tapi akan dikongsikan sedikit demi sedikit pada entri akan datang. Warga penduduk dan Pertubuhan Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat juga boleh kongsikan ilmu yang anda ada untuk kebaikan bersama.

Tanya diri kita, sudahkah kita bersedekah hari ini? Sedekah adalah salah satu bukti seseorang hamba itu benar-benar menjadikan hidupnya, membenarkan iman dalam hatinya kepada Allah s.w.t. Sedekah menandakan rasa bersyukur atas nikmat. Bila kita rasa ada nikmat, kita harus memberi dan berkongsi dengan orang lain.

Sedekah adalah salah satu cara untuk sembuhkan penyakit!

Di sini dikongsikan sebuah cerita. Ada seorang wanita Arab yang kaya raya tetapi terkena penyakit kanser. Dia mempunyai seorang pembantu rumah dari Indonesia. Dia hairan melihat pembantu rumahnya ini setelah 4 jam melakukan kerja akan masuk ke bilik air. Lama pembantu rumahnya itu berada di dalam bilik air. Membuatkan dia tertanya-tanya kenapa pembantunya duduk lama-lama dalam bilik air. Bila melakukan kerja, kemudian  masuk ke  bilik air lama-lama.

Satu hari dia bertanya: 'Kamu duduk di dalam bilik air lama-lama kenapa?'.

Pembantunya menjawab: 'Saya baru lepas melahirkan anak. Anak baru berusia 6 bulan. Saya masuk bilik air sebab saya perah susu yang sepatutnya anak saya minum tetapi anak saya tidak dapat minum kerana saya di Arab Saudi. Saya buang susu saya supaya tidak sakit'.

Mendengarnya dia berkata, Ya Allah kamu ada anak kecil rupanya. Esoknya wanita Arab ini memberi satu jumlah wang yang besar menyamai gaji pembantu itu selama 2 tahun. Kamu ambillah duit ini. Sempurnakanlah susuanmu kepada anakmu yang memerlukanmu. Jika kamu ingin balik semula pun boleh, jika kamu ingin terus membesarkan anak kamu pun tiada masalah. Aku niatkan sedekah. Mudah-mudahan Allah sembuhkan penyakitku.

Ditakdirkan Allah s.w.t. sembuhlah penyakit wanita Arab ini. Ketika bertemu dengan doktor, kesihatannya seolah-olah dia tidak pernah terkena penyakit kanser.

SubhanAllah. Bila mendengar kisah ini merasa kerdilnya diri ini. Betapa besarnya kuasa Allah. Tidak tertanding dengan kita ini sekadar hamba. Semoga Allah sentiasa bukakan hati kita  dan keluarga kita untuk beribadah kepadanya. Juga melindungi kita serta orang yang kita sayangi agar tidak tergolong dalam orang yang kufur akan nikmat Allah. Ya Allah janganlah Kau biarkan kami lalai dan alpa akan nikmat yang Engkau berikan. Aamin.

Kesimpulannya, jika kita sakit, jangan merungut. Itu maknanya sedekah kita sikit. Jadi kena sedekah lagi dan lagi. Sedekahlah tasbih mahupun kebaikan kepada Allah s.w.t.  

Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.



Sumber : Ustazah Norhafizah Musa 

Ahad, 21 Oktober 2012

INGIN BAHAGIA TIDAK SEMESTINYA KAYA



Dulu-dulu semasa saya kecil, saya selalu berangan nak hidup bahagia. Makna bahagia pada saya waktu itu dalam erti kata lain ingin hidup kaya-raya. Ada rumah besar, ada kereta mewah, dapat melancong satu dunia dan macam-macam lagi.Tapi itu masa saya kecil lagi. Waktu itu saya rasa bila dapat jadi kaya-raya nanti, hidup kita akan lebih hebat,lebih bahagia dan lebih baik dari orang lain.

Tapi saya silap. Bila sudah semakin dewasa sekarang,  boleh berfikir dengan baik, baru saya sedar kehidupan yang kaya-raya tidak semestinya akan buatkan kita bahagia untuk selama-lamanya. Kekayaan harta-benda tidak menjamin kebahagiaan sepenuhnya. Bahagia dengan kemewahan tidak menjamin kehidupan di dunia dan akhirat jika kita tidak meletakkan Allah sebagai asasnya.

Bahagia dengan kekayaan bukanlah segala-galanya kalau tidak tahu untuk bersyukur kepada Allah yang sentiasa memberi nikmat tidak terhingga ini. Mungkin dengan kekayaan, di dunia kita akan bahagia, tapi tidak semestinya di akhirat juga akan bahagia, melainkan kekayaan itu diurus untuk pelaburan akhirat kerana Allah semata-mata, insyAllah ianya akan menjamin kebahagiaan kita di dunia juga di akhirat. Ini satu perkara penting yang telah saya pelajari sekarang.

Ingin bahagia tidak semestinya dapat jelajah satu dunia... tidak semestinya setiap semester dapat Dean List atau dekan dan graduan kelas pertama.. Ya betul, memang semua orang akan merasa gembira jika memiliki hidup seperti itu. Fitrahnya manusia akan merasa gembira dan bahagia apabila mendapat kebaikan, kenikmatan namun kita juga perlu memikirkan bahawasanya, apa yang kita inginkan tidak semua akan kita miliki. Itulah hakikat sebuah kehidupan.

Walaubagaimana pun, jika tidak dapat apa yang kita inginkan, tidak semestinya hidup kita tidak bahagia. Tidak perlu merasa kurang sehingga memprotes apa yang ada di hdapan kita. Tidak semua orang yang kita lihat kaya raya, punya wang berjuta itu hidup bahagia. Kita tidak tahu masalah dalam hidup mereka. Mungkin masalah yang mereka hadapi lebih teruk dari kita. Dan tanpa kita sedar, kadang-kadang kehidupan mereka lebih derita berbanding kita.

Maka bersyukurlah dengan apa yang ada. Merasa bahagia itu letaknya di hati. Dan bahagia itu hanya akan dapat di miliki apabila merasa ada walau pun tiada. Merasa bahagia walau pun terasa derita. Segala kekurangan yang ada di depan mata tidak sedikit pun memberi ruang kepada hati merasa kurang. Apa jua yang ada di raih dengan qanaah dan redha seadanya.

Adakalanya, ada juga orang kaya yang hidupnya bahagia tapi kekayaan yang dimiliki itu hasil dari rasuah, rezekinya melimpah ruah tetapi tiada berkatnya disisi Allah SWT.  Walau pun dari jauh mungkin kita lihat dia tersenyum bahagia, namun jauh di sudut hatinya terasa kosong, suram dan jauh dari tenang. Tidak salah menjadi kaya, jutawan ternama. Islam juga menggalakkan umatnya untuk meraih kekayaan di dalam hidupnya kerana dengan kekayaan dapat melepaskan diri daripada meminta-minta. Bukankah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 
"Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tangan di atas (yang memberi), lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima bantuan)"
(Hadis SahihRiwayat Imam Ahmad)

Bersyukurlah jika kekayaan itu menjadi milik kita. Namun, bagi yang diuji dengan kemiskinan, perlu disematkan di dalam hati bahawasanya kekayaan di dunia ini bukanlah bersifat hakiki. Harta yang dimiliki itu juga sebenarnya adalah sebuah ujian. Di uji samada mereka yang memilikinya akan bersyukur atau kufur dengan nikmat yang ada.

Demikianlah kebahagiaan di dunia ini hanya bersifat sementara. Hanya kebahagiaan di akhirat lah yang lebih bermakna. Esok lusa apabila dipanggil Allah SWT, kain kapan putih juga yang akan disarungkan ke badan kita sedangkan jika dinilai harganya semeter berapa ringgit sahaja. Tidak sebanding dengan harga pakaian yang sedang kita pakai sekarang.

Apabila bertemu dengan Allah, sudah tidak ada lagi baju yang mahal-mahal. Semua harta benda kita pula, akan kita tinggalkan begitu sahaja. Tidak akan di bawa bersama dan ianya akan diwariskan kepada anak dan cucu kita. Begitulah kekayaan yang ada, hanya akan setia bersama kita sepanjang kehidupan kita tetapi pada saat kematian, kekayaan itu juga akan meninggalkan kita.

Harta yang sebenar yang perlu di bawa hanyalah amalan dan sedekah jariah kita semasa di dunia. Namun, hakikat  inilah yang sebenar sering kali kita lupa. Lupa apabila nafsu hanya melihat pada kekayaan di dunia. Hati kita mati untuk lihat kekayaan yang sebenar yang perlu di cari sebagai tiket untuk ke syurga.

Kekayaan yang sebenar ialah tidak lain adalah amalan atau kebaikan yang kita lakukan di dunia semata-mata kerana Allah. Kebaikan yang ada pahala didalamnya. Kekayaan yang perlu dicari ialah kaya dengan ilmu agama, ilmu yang akan membawa kita ke syurga. Sebagai manusia yang beragama Islam, kita tidak sedar yang kita kaya dengan Al-Quran dan hadis serta sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Namun, kita lupa untuk mengambilnya sebagai 'harta' sebagai pelaburan kita di dunia untuk kebahagiaan akhirat kita.

Fitrah manusia itu sendiri yang sering lupa, termasuklah diri saya sendiri. Kadang-kadang kita terlalu taksub dengan kebahagiaan di dunia hingga lupa kebahagiaan di akhirat. Ingin bahagia tidak semestinya perlu untuk sempurna semuanya, kerana kita sebagai manusia pun selamnya tidak akan sempurna sepenuhnya.

Cuba kita lihat,kadang-kadang mak cik yang jual nasi lemak di tepi jalan, lebih bahagia hidupnya dari 'businessman' yang sahamnya berjuta-juta. Ini kerana hidupnya sering mengutamakan Allah terlebih dahulu dari perkara lain. Walau sesusah mana pun, Allah mesti diutamakan dari yang lain.

Kebahagiaan sebenar yang dicari akan dapat apabila hati kita cinta kepada Allah melebihi segala-galanya. Itulah kebahagiaan yang sebenarnya. Tapi kita selalu melebih-lebihkan dunia dari Allah..Termasuklah diri saya yang sering alpa tentang perkara yang lebih penting.. Akan tetapi untuk mendapatkan kebahagiaan dari Allah juga tidak semestinya perlu beribadat 24 jam, tanpa melakukan apa-apa.

Allah meyuruh kita berusaha sendiri untuk dapatkan apa yang kita mahu. Dapat atau tidak,itu urusan Allah..Yang penting kita kena usaha dahulu dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Itulah kehidupan yang sebenar. Perlu berusaha,usaha dan usaha sehingga berjaya akan apa yang dihajati. Jangan sesekali putus asa. Dan yang paling penting jangan lupakan Allah dan sentiasalah memohon doa kepadaNya.  Semoga kita lebih mengutamakan kebahagiannya di akhirat daripada kebahagiaan di dunia. Allahumma amien.

Selasa, 9 Oktober 2012

SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PMR 2012







AJK PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PMR 2012
KEPADA SEMUA CALON PMR 2012, KHUSUSNYA ANAK-ANAK
WARGA TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT. TENANGKAN HATI, FOKUS DAN BUAT YANG TERBAIK. KAMI DOAKAN SEMOGA MERAIH KEJAYAAN CEMERLANG.

 

- Pengerusi PPTW, Batu Pahat