Isnin, 31 Disember 2012

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013







Assalamu'alaiku Wr. Wb. Warga Taman Warisan,
AJK  Pertubuhan Penduduk Taman Warisan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada seluruh warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat. Semoga kesejahteraan, keharmonian, keindahan dan kekuatan ukhwah Penduduk Taman Warisan semakin mantap pada tahun 2013 ini.

Diharapkan tahun 2013 ini akan lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu sambil ditemani dengan azam baru.


Masa lalu adalah kenangan
Masa kini adalah kenyataan
Masa depan adalah harapan.

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).

Tahniah!. Selamat Menyambut Tahun Baru 2013.

-Pengerusi
 Pertubuhan Penduduk Taman Warisan

Ahad, 30 Disember 2012

AZAM BARU MENJELANG 2013







Assalamu'alaiku Wr. Wb. Warga Taman Warisan,

Apa azam tuan/puan menjelang tahun 2013?
Setiap kali apabila menjelang tahun baru ramai yang akan menanam azam. Masing-masing berhasrat ingin mencapai perubahan positif dalam hidup. Memang semangat inilah yang diperlukan dalam diri setiap individu.  Tetapi harus diingat bahawa tahun tidak mampu merubah apa-apa dalam kehidupan kita. Sebenarnya tahun ini dan tahun akan datang adalah sama sahaja. Apa yang membezakannya hanyalah angka. Sebagai contoh daripada tahun 2012 ke tahun 2013, ini adalah angka berubah. Perlu kita ingat angka tidak mampu merubah apa-apa dalam hidup kita. Apa yang mampu merubah kita ialah minda kita. Oleh itu untuk memastikan segala azam kita tercapai lakukan perubahan minda. Nasib kita ditentukan oleh minda kita sendiri dan cara kita berfikir. Jika kita ingin tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, ianya bergantung kepada apa yang sedang minda fikirkan sekarang. “Whatever you’re thinking and feeling today is creating your future”.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Barang siapa yang hari ini lebih buruk darpada hari semalam maka tiadalah kebaikan padanya …..”

Untuk mencapai azam, kita perlulah fokus terhadap apa yang diazamkan agar matlamat  akan tercapai. Dan berdoalah pada Allah. Jika kita yakin dan ikhlas insyaAllah, Allah akan makbulkan doa kita.

- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,
  Batu Pahat, Johor.

Khamis, 20 Disember 2012

TAHNIAH ANDA BERJAYA MERAIH KEJAYAAN DALAM PMR 2012



Pada 19 Disember  2012 (Rabu) keputusan PMR 2012 telah diumumkan. Sekalung tahniah kepada ibu bapa dan  calon PMR 2012 warga Taman Warisan Peserai, Batu Pahat kerana berjaya dengan cemerlang dalam PMR  2012. Bagi mereka yang tidak mendapat keputusan yang baik, perjalanan masih jauh lagi. Ini baru permulaan bagi perjalanan yang masih jauh di peringkat sekolah menengah. Banyak lagi yang boleh dicapai dan moga anda  berusaha lebih gigih pada masa depan, Semoga Allah S.W.T. mengurniakan rahmat kepada anda semua 

Kepada ibu bapa yang mana anak mereka mendapat keputusan cemerlang dengan mendapat gred A untuk semua mata pelajaran dalam peperiksaan PMR 2012 (anak ahli Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat) bolehlah memohon Anugerah Kecemerlangan Pelajaran Pertubuhan Penduduk Taman Warisan. Borang permohonan boleh dimuat turun daripada website ini. Permohonan yang lengkap bolehlah diserahkan kepada Pengerusi, Bendahari atau Setiausaha Pertubuhan Penduduk Taman Warisan.

Kehidupan adalah apa yang kita beri  pada setiap perkara yang berlaku.

- Pengerusi PPTW

Isnin, 17 Disember 2012

TATKTIK KOTOR PENJENAYAH






 

Assalamu'alaikum Wr. Wb.
Saya ingin mendedahkan satu taktik kotor penjenayah yang mengambil kesempatan memperdaya gadis-gadis terutama pelajar sekolah. Jangan mudah mengambil minuman atau makanan daripada sesiapa samada yang dikenali, lebih-lebih lagi yang tidak dikenali. Gambar tersebut menunjukkan cara air kotak disuntik dengan bahan penghayal dan
digam (seal) semula supaya kelihatan seperti asal sebelum diberi kepada mangsa. 

Sebarkan, tak rugi pun kalau kita kongsikan dengan anak-anak, rakan, jiran dan siapa juga, jika ini dapat membantu menyelamatkan diri, keluarga, rakan atau sesiapa sahaja supaya tidak menjadi mangsa kepada penjenayah-penjenayah yang cuba membuat perkara yang tidak baik ini.

- Pengerusi PPTW

Jumaat, 14 Disember 2012

MAJLIS BACAAN SURAH YAASIN, TAHLIL DAN DOA SELAMAT





 Assalamu'alaikum Wr. Wb.
Yang dihormati,
Ahli Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.

1.  Untuk makluman tuan/puan En. Mohamadin bin Abd. Rahim (Pak Din) mempersilakan ahli lelaki ke rumahnya untuk majlis tersebut di atas yang bertujuan mendoakan kepada Allahyarhama Pn. Saleha binti Abd. Rahim (adik Pak Din) yang telah kembali ke Rahmatulah. Majlis tersebut akan diadakan seperti ketentuan berikut :

Tarikh    :  15 Disember 2012 (Sabtu)
Masa     :  9.00 malam
Tempat  :  Rumah En. Mohamadin bin Abd. Rahim (Pak Din)
                 No. 10, Jalan Warisan 2, Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.
*Majlis tersebut khusus bagi kaum lelaki sahaja.

2.   Untuk makluman tuan/puan En. Mustafa bin Ismail dan Pn Rusidah binti Hashim  mempersilakan tuan/puan, suami/isteri serta anak-anak hadir ke rumahnya kerana Majlis Doa Selamat khusus kepada keluarga beliau yang akan melangsungkan majlis Walimatul Urus pada bulan Januari tahun 2013. Majlis tersebut akan diadakan seperti ketentuan berikut :

Tarikh    :  16 Disember 2012 (Ahad)
Masa     :  5.00 petang
Tempat  :  Rumah En. Mustafa bin Ismail
                 No. 9, Jalan Warisan 3, Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.
*Akan diadakan mesyuarat ahli berkaitan aktiviti gotong royong kendarat.

Sekian, untuk  makluman tuan/puan. Semoga segala amalan yang baik yang seumpamanya kita laksanakan akan beroleh keberkatan dan keredhaan Allah.

- Pengerusi PPTW, Batu Pahat.
 

Selasa, 11 Disember 2012

MAJLIS SOLAT HAJAT, BACAAN YAA'SIN DAN DOA SELAMAT TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT.








Assalamu'alaikum Wr. Wb.
Pertubuhan  Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat  telah mengadakan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yaa'sin dan Doa Selamat seperti ketentuan berikut :

Tarikh : 10 Disember 2012 (Isnin)
Masa : 8.45 malam
Tempat :  
Rumah En. Mohamad Halil bin Hassan (No. 8, Jalan Warisan 2)
*Solat Hajat khusus untuk kaum lelaki sahaja.

Majlis ini diadakan untuk Nur Aqliah binti Mohamad Halil anak jagaan En. Mohamad Halil bin Hassan dan Pn. Azlin binti Atan akan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN)  pada 12 Disember 2012. Manakala Pn. Saleha binti Abd. Rahim (adik Pak Din) yang  meninggal dunia pada 8 Disember 2012.  Majlis tersebut sebagai tanda sokongan dan  mendoakan kesejahteraan kepada mereka. 

Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai. Batu Pahat dalam majlis tersebut  telah menyampaikan 'Sumbangan Ukhwah' sebanyak RM 500.00  untuk membantu keluarga En. Mohammad Halil bin Hassan dan Pn. Azlin binti Atan bagi pembedahan puteri beliau Nur Aqilah. 'Sumbangan Ukhwah' RM 200.00 juga untuk Allahyarhamah Pn. Saleha binti Abd. Rahim. Mudah-mudahan usaha yang dilaksanakan itu akan dapat meringankan bebanan yang dialami oleh kedua-dua pihak.

Terima kasih kepada semua yang hadir. Semoga segala amal jariah dan bantuan yang semampunya kita berikan akan beroleh keberkataan dan keradhaan Allah.

- Pengerusi PPTW

Sabtu, 8 Disember 2012

TAKZIAH KEPADA KELUARGA PN. SALEHA ABD. RAHIM (ADIK PAK DIN)

Adalah dimaklumkan seorang ahli Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Pn. Saleha binti Abd. Rahim (No. 10, Jalan Warisan 2, adik kepada En. Mohamadin bin Abd. Rahim) yang mana sedang sakit kritikal di wad ICU Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat telah disahkan meninggal dunia di hospital pada 8 Disember 2012, anggaran pada  jam 10.45 pagi. .

Jenazah berkenaan dimandikan dan dikafankan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat Turut hadir ke Hospital adalah jiran-jiran, sanak-saudara, kawan-kawan, dan AJK PPTW. Allahyarhamah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Jamek Ar-Raudhah Peserai, Batu Pahat.

Pertubuhan Penduduk Taman Warisan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan mendoakan semoga rohnya  ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleha. Al- Fatihah.

-Pengerusi PPTW,  Peserai, Batu Pahat.

Jumaat, 7 Disember 2012

MAJLIS SOLAT HAJAT DAN DOA SELAMAT


 
Untuk makluman tuan/puan bahawa Nur Aqliah binti Mohamad Halil anak jagaan En. Mohamad Halil bin Hassan dan Pn. Azlin binti Atan akan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN)  pada 12 Disember 2012. Manakala Pn. Saleha binti Abd. Rahim (adik Pak Din) pula sedang sakit kritikal di ICU Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Oleh itu pihak AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan akan mengadakan majlis Solat Hajat dan Doa Selamat seperti ketetapan berikut :

Tarikh      :  10.12.2012
Hari         :   Isnin
Masa       :   8.45 malam (lepas Isyak)
Tempat    :  Rumah En. Mohamad Halil bin Hassan (No. 8, Jalan Warisan 2)
*Solat Hajat khusus untuk kaum lelaki sahaja.

 AJK Pertubuhan Pendnduk Taman Warisan mempersilakan tuan/puan untuk bersama-sama menghadiri majlis tersebut sebagai tanda sokongan dan mendoakan kesejahteraan kepada mereka. Mudah-mudahan usaha yang dilaksanakan itu akan dapat meringankan bebanan yang dialami oleh kedua-dua pihak.

Semoga segala amal jariah dan bantuan yang semampunya kita berikan akan beroleh keberkataan dan keradhaan Allah.

- Pengerusi PPTW

Rabu, 5 Disember 2012

MESYUARAT KHAS AJK PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN SESI 2011-2013



Dengan penuh kesyukuran kehadrat Allah S.W.T,  sukacitanya dimaklumkan  Mesyuarat Khas  AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan  Sesi 2011/2013 telah  diadakan seperti ketentuan  berikut :

 TARIKH   :   5 DISEMBER 2012 (RABU)
 MASA     :   10.00 PAGI
TEMPAT  :   NO. 2, JALAN WARISAN 2, TAMAN WARISAN, BATU PAHAT. 
                   (RUMAH EN. MOHD DAUD BIN SALLEH  PENGERUSI  PPTW)
                               
Melalui Mesyuarat Khas ini keputusan telah dibuat bahawa Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai. Batu Pahat telah meluluskan 'Sumbagan Ukhwah' untuk membantu keluarga En. Mohammad Halil bin Hassan dan Pn. Azlin binti Atan untuk pembedahan puteri beliau Nur Aqilah  yang mengidap jantung berlubang dan tersumbat. Pertubuhan Penduduk Taman Warisan juga meluluskan 'Sumbangan Ukhwah' kepada Pn. Saleha binti Abd. Rahim yang mengidap penyakit buah pinggang yang mana ketika ini masih terlantar di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.  

Semoga 'Sumbangan Ukhwah' yang  ikhlas ini dapat membantu meringankan beliau dan keluarga.