Rabu, 31 Disember 2014

SALAM TAHUN BARU 2015



Warga Taman Warisan yang mulia,
AJK  Pertubuhan Penduduk Taman Warisan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015 kepada seluruh warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat. Semoga kesejahteraan, keharmonian, keindahan dan kekuatan ukhwah Penduduk Taman Warisan semakin mantap pada tahun 2015 ini.

Diharapkan tahun 2015 ini akan lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu sambil ditemani dengan azam baru. Walapun tahun 2015 penuh dengan cabaran dalam kehidupan.


“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).

Masa lalu adalah kenangan
Masa kini adalah kenyataan
Masa depan adalah harapan. 


Tahniah!. Selamat Menyambut Tahun Baru 2015.

-Pengerusi
 Pertubuhan Penduduk Taman Warisan

Selasa, 30 Disember 2014

PEMBAYARAN BONUS KAKITANGAN AWAM 2015





Tahniah!
Pembayaran bonus penjawat awam 2015 telah dipercepatkan iaitu pada 
5 Januari 2015.


Pekeliling Tarikh Pembayaran Bonus Kakitangan Awam 2015


Khamis, 25 Disember 2014

SUMBANGAN MANGSA BANJIR

Assalamaualaikum Wr. Wb.
Ya Allah keadaan banjir kali ini sangat dasyat.
Dalam sabar ada syukur, dalam sukar tetap akur. Ya Allah kami hanya hambamu.
Banjir ini menyuburkan kembali kasih-sayang yang sudah gersang di hati kita. Kasih, simpati, empati yang semakin tenggelam diapungkan semula oleh tragedi ini.


Sumbangan untuk mangsa banjir boleh disalurkan mengikut ketentuan di atas.
Terima kasih kepada semua yang prihatin.

Ahad, 21 Disember 2014

PENYERAHAN SUMBANGAN ADUN SEMERAH YB EN. MOHD ISMAIL BIN ROSLAN




Syukur kepada Allah dengan izinnya PPTW telah menerima sumbangan daripada ADUN Semerah YB. En. Mohd Ismail bin Roslan iaitu satu unit canopy yang lengkap dengan kerusi dan meja, hasil permohonan yang dibuat semasa Majlis Mesyuarat Agung yang ke-5 Tahun 2014 yang lalu. Penyerahan telah dilakukan pada ketentuan berikut :

Tarikh : 20 Disember 2014
Masa : 5.00 petang
Tempat : Pt. Lapis, Batu Pahat (Di hadapan Stor Canopy En. Adam bin Eran)

Terima kasih diucapkan kepada YB. En. Mohd Ismail bin Roslan, ADUN Semerah atas sumbangan beliau.
Terima kasih juga ditujukan kepada En. Adam atas kesudian beliau membenarkan menyimpan canopy tersebut di stor kepunyaan beliau.

Pihak AJK PPTW telah diwakili oleh Pengerusi dan Setiausaha sewaktu penyerahan sumbangan tersebut.

Semoga dengan adanya kelengkapan canopy ini akan banyak memberi faedah kepada warga PPTW Batu Pahat.

Ahad, 14 Disember 2014

MEMBAIKI KEBOCORAN PAIP POLY

Bahan/Peralatan :
Soket sama jenis poly
Gergaji besi

Langkah-langkah

#1
Kenalpasti bahagian paip poly yang bocor.

#2
Tutup punca air utama. 
Potong bahagian paip poly yang bocor menggunakan gergaji besi.


#3

#4

#5

#6

#7

#8

Rabu, 26 November 2014

YURAN TAHUNAN PPTW TAHUN 2014



Saya menarik perhatian tuan/puan berhubung dengan Yuran Tahunan  Pertubuhan Penduduk Taman Warisan tahun 2014. Untuk makluman tuan/puan semua bahwa yuran tahunan tersebut sebanyak Rm 60.00. Ahli Pertubuhan  Penduduk Taman Warisan yang belum menjelaskan bolehlah  menjelaskan yuran tersebut kepada Bendahari Pertubuhan Penduduk Taman Warisan En. Muhamad bin Misman (No. 3, Jalan Warisan 6).

Semoga dalam makluman dan tindakan pihak tuan/puan. Tahniah dan jutaan terima kasih kepada tuan/puan yang telah menyempurnakannya.

Sekiranya ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan boleh berhubung dengan Pengerusi, Bendahari atau Setiausaha Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Batu Pahat  untuk penjelasan. Pertanyaan juga boleh dibuat melalui email : tamanwarisanbatupahat@yahoo.com

Terima kasih.

- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,
  Batu Pahat, Johor.

Ahad, 2 November 2014

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM & STPM 2014


AJK PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN SPM & STPM 2014 
YANG BERMULA PADA 03 NOVEMBER 2014 
KEPADA SEMUA CALON SPM & STPM 2013, KHUSUSNYA ANAK-ANAK
WARGA TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT. SEMOGA DIPERMUDAHKAN OLEH ALLAH DAN MERAIH KECEMERLANGAN. 

Khamis, 23 Oktober 2014

SALAM MAAL HIJRAH 1436H



Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor  mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1436H yang akan disambut pada 25 Oktober 2014 (Sabtu) ini kepada semua umat Islam, khususnya semua warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.  Semoga dengan kehadiran tahun baru ini bersamalah kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T., banyakan beribadah dan mengerjakan perkara kebaikan.
  
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 218)

Ahad, 19 Oktober 2014

PEMERIKSAAN BERNOTIS PEMBERIAN GERAN PERSATUAN PENDUDUK TAMAN WARISAN PESERAI BATU PAHAT




Pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Johor telah melakukan kunjungan untuk Pemeriksaan mengenai Pemberian Geran Persatuan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat pada butiran berikut:

Tarikh :  17 Oktober 2014 (Jumaat)
Masa : 9.00 Pagi 
Tempat : No. 2, Jalan Warisan 2, Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.

Tujuan pemeriksaan kunjungan adalah bagi memastikan matlamat asal Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia terhadap pemberian geran tersebut terlaksana dan tiada penyelewangan berlaku. 


Maklumbalas daripada proses pemeriksaan ini adalah sangat baik. Terima kasih diucapkan kepada semua AJK yang memberikan kerjasama secara langsung dan tidak langsung..

- Pengerusi PPTW

Khamis, 16 Oktober 2014

KEJADIAN KECURIAN DI TAMAN WARISAN PESERAI BATU PAHAT




Dirakam melalui CCTV Tn. Hj. Sarkawi

Pada awal pagi kejadian kecurian berlaku di Taman Warisan.  Basikal  kepunyaan En. Roslee bin Ahmad,  No. 2, Jalan Warisan 7.  Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.35 pagi tadi. Tn. Hj. Sarkawi dapat merakamkan kejadian itu melalui CCTV yang dipasang di rumah beliau (lihat gambar).


Penduduk Taman Warisan diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kejadian yang berlaku. Berhati-hati apa yang dinamakan "Pelawat Luar" pada waktu malam bermotosikal mundar mandir di Taman Warisan. Sila perhatikan keadaan sekeliling rumah sekiranya terdapat motosikal, kenderaan atau orang yang tidak dikenali berlegar-legar di kawasan rumah atau jiran berdekatan segera laporkan kepada pihak POLIS sekiranya didapati sesuatu kejadian yang mencurigakan. 

Kepada tuan/puan mangsa yang terlibat, pihak AJK empati dan simpati dan diharapkan dapat bersabar atas dugaan-Nya ini. Sekiranya ada perkara yang ingin dikongsikan  bolehlah dimaklumkan kepada AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan. 

Akhir-akhir ini ramai remaja dan anak-anak muda bermotosikal keluar masuk, mundar mandir di Taman Warisan. Ada juga mereka lepak di Taman Permainan hingga tengah malam. Diharapakan kepada warga penduduk Taman Warisan agar peka dengan keadaan ini.

Mohon kerjasama kepada semua warga Taman Warisan supaya lebih berwaspada dan ingat mengingatkan sesama kita..

Sabtu, 4 Oktober 2014

LAGI KEJADIAN PECAH RUMAH DAN KECURIAN DI TAMAN WARISAN PESERAI






Pada minggu lalu berlaku lagi kejadian pecah rumah di Taman Warisan.  Rumah kepunyaan En. Abu Bakar bin Abdul Rahim,  No. 1, Jalan Warisan 3.  Pada masa kejadian penghuni tiada di rumah. Sebelum kejadian ini telah berlaku cubaan pecah rumah kepunyaan En. Shamsudin bin Jaafar dan rumah kepunyaan Tn. Hj. Mohd Shah bin Hamdan di Jalan Warisan Utama.

Rumah berkenaan telah cuba dipecah masuk. Bersyukur kepada Allah cubaan untuk masuk telah gagal. Modus operandi dipercayai untuk mendapatkan wang atau barang kemas dalam masa yang singkat semasa ketiadaan tuan rumah. Kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada Balai Polis Batu Pahat.

Penduduk Taman Warisan diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kejadian yang berlaku. Sila perhatikan keadaan sekeliling rumah sekiranya terdapat motosikal, kenderaan atau orang yang tidak dikenali berlegar-legar di kawasan rumah atau jiran berdekatan segera laporkan kepada pihak POLIS sekiranya didapati sesuatu kejadian yang mencurigakan. Pihak berkuasa tidak akan mengambil apa - apa tindakan terhadap pelapor walaupun setelah disiasat tiada apa yang mencurigakan, selagi niat kita melaporkan hanya untuk melindungi diri dan warga taman amnya.


Kepada tuan/puan mangsa yang terlibat, pihak AJK empati dan simpati dan diharapkan dapat bersabar atas dugaan-Nya ini. Jika ada info yang hendak dikongsi bersama atau bantuan yang diperlukan bolehlah dimaklumkan kepada AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan. 

Mohon kerjasama kepada semua ahli supaya lebih berwaspada dan ingat mengingatkan sesama ahli.

Jumaat, 3 Oktober 2014

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA 1435H/2014M



InsyaAllah kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha 1435H/2014M  pada 5 Oktober 2014 (Ahad). Sehubungan dengan itu Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1435H/ 2014M dan Maaf Zahir Batin kepada semua warga Taman Warisan.

Kepada penduduk yang akan balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga dinasihatkan supaya berhati-hati di jalanraya dan mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah untuk mengelakkan berlakunya kejadian kecurian dan pecah rumah. Diingatkan patuhi undang-undang lalu lintas dan ingatlah orang yang tersayang, supaya  selamat. Kami semua mendoakan keselamatan anda semua semoga selamat pulang dan selamat kembali.


Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sepanjang kami melaksanakan tugas mentadbir Pertubuhan Penduduk Taman Warisan ini mungkin ada silap dan salah. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna dan tidak lekang daripada melakukan kesilapan.Teguran yang berhemah sentiasa kami alukan untuk kebaikan bersama. 

  
Qurban itu melepaskan apa yang kita sayang untuk orang yang tersayang kerana YANG MAHA PENYAYANG. Qurban itu maknanya merelakan dirinya susah untuk orang lain yang susah kerana YANG AMAT PEMURAH. Selamat menjalani ibadah qurban dan Selamat menyambut idul adha. Salam Aidiladha.

- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,
  Batu Pahat, Johor.

Ahad, 21 September 2014

SELAMAT MENUNAIKAN FARDU HAJI




AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan dan seluruh warga Taman Warisan mengucapkan selamat menunaikan  Fardu Haji kepada Setiausaha Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat Ustaz Md. Ariffin bin Parnian dan isteri beliau Pn. Saliza binti Abdul Rahim pada tahun ini 1435H/2014H. Semoga beroleh haji mabrur.

Khamis, 18 September 2014

KEMBALI KE RAHMATULLAH




AL FATIHAH
Warga penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, dan juga merupakan ahli Pertubuahan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat,  Allahyarham En. Azman bin Mahmor (No. 4, Jalan Warisan 6) telah Kembali ke Rahmatullah pada 17 September 2014 bersamaan 22 Zulkaedah 1435, jam 11.30 malam di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Jenazah akan dibawa pulang ke No. 4, Jalan Warisan 6, Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat,  pada malam ini dan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Masjid Jamik Ar-Raudah Peserai. 
AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan dan seluruh warga penduduk Taman Warisan mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh dan beriman. Amin Ya Rababal Alamin.
- Pengerusi PPTW

Isnin, 15 September 2014

SELAMAT HARI MALAYSIA 2014




AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia pada 16 September 2014 kepada semua rakyat Malaysia dan khas kepada warga penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.  Alhamdulillah, keamanan Malaysia masih dapat dikekalkan sehingga kini. Jika tanpa perpaduan, keamanan tidak akan dicapai sehingga sekarang. Oleh itu, kami  menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjaga keamanan negara yang kita cintai ini. Berbangga jadi anak Malaysia!

Isnin, 8 September 2014

SELAMAT MENGHADAPI UPSR 2014




AJK PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN UPSR 2014 
(9 SEPTEMBER 2014 - 11 SEPTEMBER 2014)
KEPADA SEMUA CALON UPSR 2014, KHUSUSNYA ANAK-ANAK
WARGA TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT. SEMOGA DIPERMUDAHKAN OLEH ALLAH DAN MERAIH KECEMERLANGAN. 

Sabtu, 30 Ogos 2014

SALAM KEMERDEKAN ULANG TAHUN KE - 57



TANGGAL 31 Ogos datang lagi - tanda meningkat setahun lagi usia kemerdekaan negara. Ketika laungan kemerdekaan di Stadium Merdeka yang dikumandangkan Tunku Abdul Rahman mengiang-ngiang di telinga, kini Malaysia menyambut lagi ulang tahun ke-57.

Sebagaimana Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara menjadi saksi turunnya bendera Union Jack, begitulah juga bangunan dengan reka bentuk Moorish itu menjadi saksi peningkatan dalam pembangunan serta perkembangan sebuah negara bernama Malaysia.

Dengan bebasnya negara daripada belenggu penjajahan bermakna perjuangan mendapatkan kemerdekaan juga berakhir, tetapi ia juga bermakna bermulanya perjuangan mengisi kemerdekaan.Semangat merdeka juga terus disemai bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat akan betapa payahnya perjuangan menjadi negara yang bebas dari sebarang unsur-unsur penjajahan. Bagaimanapun, masyarakat Melayu tidak bersendirian kerana pemimpin Melayu sedar bahawa tanpa pembabitan bangsa lain, perjuangan ini tidak akan berjaya kerana melalui kemerdekaan, Malaya akan ditadbir di bawah satu sistem di mana semua bangsa akan bersatu.
Rentetan demi rentetan peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara mungkin masih segar dalam kepala golongan tua, namun bagi golongan muda hanya semangat ini yang dibawa bersama dalam menyemarakkan hari kemerdekaan.Kibaran merah putih Jalur Gemilang kini menjadi pembangkit semangat kemerdekaan. Sana-sini ia diarak bagi membuakkan rasa kasih dan cinta kepada negara yang memberikan segala kemewahan dan peluang kepada rakyatnya.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai bahan digunakan bagi membentuk Jalur Gemilang menandakan betapa semaraknya keinginan semua anggota masyarakat untuk terus menjadi sebuah negara berdaulat yang merdeka.

Justeru itu, sama-samalah kita mengubah sikap dan kembali ke landasan sebenar supaya tidak terus hanyut dan leka dengan keselesaan yang dinikmati hari ini. Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang anggotanya bertatasusila luhur, berdaya maju, melindungi dan mematuhi serta memelihara undang-undang dan peraturan. Untuk membentuk masyarakat madani, pemupukan nilai-nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiyah secara berkesan penting kerana pembangunan material serta kepesatan perkembangan ekonomi semata-mata belum tentu menjanjikan terbinanya masyarakat yang bermoral.

AJK PPTW mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-57, kepada warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor. 

"MALAYSIA... DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA"

- Pengerusi dan AJK PPTW

Rabu, 20 Ogos 2014

KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG SEMPENA ULANG TAHUN KEMEREDKAN KE-57 MALAYSIA PERINGKAT PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT.



Sempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-57, Pertubuhan Penduduk Taman Warisan mengadakan kempen menggalakkan kibar Jalur Gemilang di setiap kediaman masing-masing. Kempen brtujuan untuk menyemaikan semangat patriotisme dikalangan penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat terutama dikalangan kanak-kanak. Patriotisme adalah sentimen nasional yang menekankan aspek kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara.

Salam Ulang Tahun Hari  Kemerdekaan Malaysia Ke- 57, tahun 2014  untuk seluruh warga Taman Warisan, Peserai  Batu Pahat. 

Khamis, 14 Ogos 2014

MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM MARHABAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1435H/2014M


Alhamdulillah, marilah kita bersama memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, Tuhan yang Maha Agung kerana dengan limpah kurniaNya jua Program Marhaban dan Majlis Penutup Marhaban Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1435H/2014M yang dirancang berjalan dengan jayanya. 

Kunjungan Marhaban dari rumah ke rumah, yang mana acara kemuncaknya pada hari Rabu (malam Khamis) 13 Ogos 2014 di Jalan Warisan 7, Taman Warisan. Tahun ini giliran warga Jalan Warisan 7 mengendalikan Majlis Penutupan Program Marhaban Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1435H/2014M. 

Program ini bertujuan untuk menyuburkan rasa cinta dan kasih sayang di kalangan kariah Taman Warisan dan menzahirkan syiar Islam, di samping menguatkan semangat perpaduan dan silaturrahim sesama warga Taman Warisan Perserai, Batu Pahat, Johor.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada warga Taman Warisan kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis tersebut. 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada para penyumbang, samada sumbangan berbentuk wang ringgit mahupun peralatan dan barang keperluan. Kutipan Tabung Marhaban Sambutan Aidil Fitri Pertubuhan Penduduk Taman Warisan bagi tahun 1435H/2014M berjumlah  RM 1054.00

Sekalung tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan Program Marhaban dan Majlis Penutupan Marhaban Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Batu Pahat, Johor.


Agenda Majlis Penutup Marhaban PPTW 1435H/2014M (10.30 Malam)  :
  • Jamuan Hari Raya
  • Ucapan Aluan Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan
  • Pengisytiharan Kutipan Tabung Marhaban 1435H/2014M
  • Cabutan Nama Bertuah 
  • Bacaan Doa oleh Tn. Hj. Mazlan bin Saman
  • Bersurai.






Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan En. Mohd Daud
Sedang Menyampaikan Ucap Utama


En. Rosli Pemenang Hadiah Utama Cabutan Bertuah
Sambutan Aidil Fitri 1435H/2014M