Selasa, 29 September 2015

JEREBU


Apakah Jerebu?
Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.

Punca - Punca Jerebu
Punca utama jerebu adalah akibat daripada :
  • Pembakaran Secara Terbuka
  • Asap Dari Kilang
  • Asap Dari Kenderaan
HINDARI DARIPADA PERBUATAN YANG BOLEH MENYEBABKAN JEREBU.

Indeks Pencemaran Udara (IPU)
IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut :-

Nilai IPU
Status
0 - 50Baik
51 - 100Sederhana
101 - 200Tidak Sihat
201 - 300Sangat Tidak Sihat
301 - 500Berbahaya
Anda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah - Iangkah pencegahan.

JEREBU MENGANCAM KESIHATAN ANDA
Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu :-
  1. Kanak-kanak
  2. Orang tua
  3. Mereka yang mengalami penyakit
    • asma
    • bronkitis
    • radang paru-paru
    • penyakit paru-paru yang kronik
    • jantung
    • alahan
  4. Perokok
  5. Mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah.
Apakah Tanda dan Gejala Kesan Jerebu Kepada Kesihatan
Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah:

• Terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk.
• Terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas.
• Mata terasa pedih dan berair.
• Hidung berair dan kerap bersin.
• Kulit badan terasa gatal-gatal.
• Terasa sakit dada.

Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut.

CEGAHLAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU. IKUTI NASIHAT BERIKUT:-
  • Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
  • Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
  • Penutup hidung dan mulut ( mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dikenalpasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.
  • Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
  • Kurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah seperti sukan.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
  • Gunakan kemudahan hawa dingin sekiranya menaiki  kenderaan anda.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak ( sekurang-kurangnya 8 gelas sehari)
  • Sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya ,mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar  dari  kawasan tersebut.fo Sihat 
Untuk bacaan Indeks Pencemaran Udara / Air Pollution Index (API), sila layari www.doe.gov.my/apims
Sumber : Info Sihat Bahagian Pendidikan Kementerian Kesihatan Malaysia

Rabu, 23 September 2015

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1436H/2015M


In Shaa Allah kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha 1436H/2015M  pada 24 September 2015 (Khamis). Sehubungan dengan itu Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1436H/ 2015M dan Maaf Zahir Batin kepada semua warga Taman Warisan.

Kepada penduduk yang akan balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga dinasihatkan supaya berhati-hati di jalanraya dan mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah untuk mengelakkan berlakunya kejadian kecurian dan pecah rumah. Diingatkan patuhi undang-undang lalu lintas dan ingatlah orang yang tersayang, supaya  selamat. Kami semua mendoakan keselamatan anda semua semoga selamat pulang dan selamat kembali.


Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sepanjang kami melaksanakan tugas mentadbir Pertubuhan Penduduk Taman Warisan ini mungkin ada silap dan salah. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna dan tidak lekang daripada melakukan kesilapan.Teguran yang berhemah sentiasa kami alukan untuk kebaikan bersama. 

  
Qurban itu melepaskan apa yang kita sayang untuk orang yang tersayang kerana YANG MAHA PENYAYANG. Qurban itu maknanya merelakan dirinya susah untuk orang lain yang susah kerana YANG AMAT PEMURAH. Selamat menjalani ibadah qurban dan Selamat menyambut idul adha. Salam Aidiladha.

- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,
  Batu Pahat, Johor.

Khamis, 10 September 2015

SELAMAT MENUNAIKAN FARDU HAJI



AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan dan seluruh warga Taman Warisan mengucapkan selamat menunaikan  Fardu Haji kepada AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat En. Hassan bin Darisoon dan isteri beliau Pn. Halimaton bin Hj. Ahmad (No. 5, Jalan Warisan 7, Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.)  pada tahun ini 1436H/2015H. Semoga beroleh haji mabrur.

Isnin, 7 September 2015

SELAMAT MENGHADAPI UPSR 2015


AJK PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN UPSR 2015 
(8 SEPTEMBER 2015 - 10 SEPTEMBER 2015)
KEPADA SEMUA CALON UPSR 2015, KHUSUSNYA ANAK-ANAK
WARGA TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT. SEMOGA DIPERMUDAHKAN OLEH ALLAH DAN MERAIH KECEMERLANGAN.