Rabu, 28 Disember 2016

YURAN PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN TAHUN 2016



Saya menarik perhatian tuan/puan berhubung dengan Yuran Tahunan  Pertubuhan Penduduk Taman Warisan tahun 2016. Untuk makluman tuan/puan semua bahwa yuran tahunan tersebut sebanyak Rm 60.00. Ahli Pertubuhan  Penduduk Taman Warisan yang belum menjelaskan bolehlah  menjelaskan yuran tersebut kepada Bendahari Pertubuhan Penduduk Taman Warisan En. Muhamad bin Misman (No. 3, Jalan Warisan 6).

Semoga dalam makluman dan tindakan pihak tuan/puan. Tahniah dan jutaan terima kasih kepada tuan/puan yang telah menyempurnakannya.

Sekiranya ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan boleh berhubung dengan Pengerusi, Bendahari atau Setiausaha Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Batu Pahat  untuk penjelasan. Pertanyaan juga boleh dibuat melalui email : tamanwarisanbatupahat@yahoo.com

Terima kasih.

- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,
  Batu Pahat, Johor.

Selasa, 20 Disember 2016

TAHNIAH ANDA CEMERLANG PT3 2016



Pada 19 Disember  2016 (Isnin) keputusan PT3 2016 telah diumumkan.  AJK PPTW mengucapkan  tahniah kepada ibu bapa dan  calon PT3 2016  kerana berjaya dengan cemerlang dalam PT3  2016, terutama khusus untuk ibu bapa dan pelajar warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor.

Bagi mereka yang tidak mendapat keputusan yang baik, perjalanan masih jauh lagi. Ini baru permulaan bagi perjalanan yang masih jauh di peringkat menengah. Banyak lagi yang boleh dicapai dan moga anda  berusaha lebih gigih pada masa depan, Semoga Allah S.W.T. mengurniakan rahmat kepada anda semua. 

Jumaat, 18 November 2016

UPSR 2016: TAHNIAH DAN TERUSKAN SEMANGAT JUANG!

Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah diumumkan pada 17 November 2016. Kami AJK Pertubuhan Penduduk Taman Warsan ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada anak-anak yang cemerlang dalam UPSR. Kejayaan tersebut hakikatnya, adalah mukadimah untuk mencapai sasaran bagi menjadi generasi rabbani yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa, negara dan keluarga.
Kepada yang kurang cemerlang kami nyatakan bahawa UPSR bukanlah segala-galanya. Terlalu banyak tokoh-tokoh dunia yang hebat, bermula dengan pencapaian yang biasa. Ia menjadi satu pembakar semangat bagi mereka untuk mendaki tangga kejayaan dan akhirnya jauh lebih cemerlang daripada mereka yang sejak mulanya 'selesa' dengan kejayaan demi kejayaan.
Teruskan perjuangan menuntut ilmu kerana individu yang hebat, tidak ada dalam kamus hidupnya dua perkara; putus asa dan penat lelah.
Sekali lagi diucapkan tahniah dan syabas.

Isnin, 14 November 2016

TAPAK GERAI PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN SEDANG DALAM PEMBINAAN







Syukur kepada Allah dengan izinNya tapak gerai Pertubuhan Penduduk Taman Warisan sedang dalam proses pembinaanya atas sumbangan daripada ADUN Semerah YB. En. Mohd Ismail bin Roslan, pembinaannya dengan kebenaran MPBP. Ini adalah hasil permohonan yang dibuat semasa Majlis Mesyuarat Agung yang ke-7 Tahun 2016. 

Terima kasih atas sumbangan yang dihulurkan. Semoga Allah memberakti khidmat bakti YB. Terima kasih YB.  Tahniah kepada warga PPTW, Batu Pahat.. 


Ahad, 6 November 2016

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM & STPM 2016



WARGA PPTW  MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN SPM & STPM  2016 (7 NOVEMBER 2016) 
KEPADA SEMUA CALON SPM & STPM 2016, KHUSUSNYA ANAK-ANAK  WARGA TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT,  JOHOR.
TENANGKAN HATI, FOKUS DAN BUAT YANG TERBAIK. KAMI DOAKAN SEMOGA MERAIH KEJAYAAN CEMERLANG.

Jumaat, 14 Oktober 2016

KURSUS PENGURUSAN PERTUBUHAN DAN TAKLIMAT SISTEM EROSES BIL. 9/2016



Jabatan Pendaftran Pertubuhan Malaysia, Negeri Johor  mengadakan Kursus Pengurusan Pertubuhan dan Taklimat Sistem Eroses seperti ketetapan berikut:

Tarikh :  15 Oktober 2016  (Sabtu)
Masa Pendaftaran : 8.00 pagi
Tempat : Batu Pahat Learning Center Open Universiti Malaysia.
Dirasmikan Oleh : Y. Bhg. Pengarah, Jabatan Pendaftaran Malaysia, Negeri Johor.

Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat  turut serta dalam kursus tersebut  dengan diwakili oleh tiga  (3) orang Ahli Jawatankuasa. 

Semoga dengan adanya kursus seperti ini akan meningkatkan lagi kualiti pegurusan pertubuhan yang ada.

Ahad, 9 Oktober 2016

SELAMAT MENGHADAPI PT3 2016




Ujian Bertulis PT3 akan bermula pada 10 Oktober 2016 (Isnin) hingga 13 Oktober 2016 (Khamis). Kami AJK PPTW  ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat menghadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun 2016 kepada semua pelajar Tingkatan 3, terutama anak-anak warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat. Kami  mendoakan kejayaan anda 

Sabtu, 1 Oktober 2016

SALAM MAAL HIJRAH 1438H

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor  mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1438H yang akan disambut pada 2 Oktober 2016 (Ahad)  ini kepada semua umat Islam, khususnya semua warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat.  Semoga dengan kehadiran tahun baru ini bersamalah kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T., banyakan beribadah dan mengerjakan perkara kebaikan.
  
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 218)

Ahad, 11 September 2016

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1437H/2016M





In Shaa Allah kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha 1437H/2016M  pada 12 September 2016 (Isnin). Sehubungan dengan itu Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1437H/ 2016M dan Maaf Zahir Batin kepada semua warga Taman Warisan.

Kepada penduduk yang akan balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga dinasihatkan supaya berhati-hati di jalanraya dan mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah untuk mengelakkan berlakunya kejadian kecurian dan pecah rumah. Diingatkan patuhi undang-undang lalu lintas dan ingatlah orang yang tersayang, supaya  selamat. Kami semua mendoakan keselamatan anda semua semoga selamat pulang dan selamat kembali.


Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sepanjang kami melaksanakan tugas mentadbir Pertubuhan Penduduk Taman Warisan ini mungkin ada silap dan salah. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna dan tidak lekang daripada melakukan kesilapan.Teguran yang berhemah sentiasa kami alukan untuk kebaikan bersama. 

  
Qurban itu melepaskan apa yang kita sayang untuk orang yang tersayang kerana YANG MAHA PENYAYANG. Qurban itu maknanya merelakan dirinya susah untuk orang lain yang susah kerana YANG AMAT PEMURAH. Selamat menjalani ibadah qurban dan Selamat menyambut idul adha. Salam Aidiladha.

- Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan,

Sabtu, 10 September 2016

Rabu, 31 Ogos 2016

SALAM KEMERDEKAAN ULANG TAHU KE-59



TANGGAL 31 Ogos datang lagi - tanda meningkat setahun lagi usia kemerdekaan negara. Ketika laungan kemerdekaan di Stadium Merdeka yang dikumandangkan Tunku Abdul Rahman mengiang-ngiang di telinga, kini Malaysia menyambut lagi ulang tahun ke-59.

Sebagaimana Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara menjadi saksi turunnya bendera Union Jack, begitulah juga bangunan dengan reka bentuk Moorish itu menjadi saksi peningkatan dalam pembangunan serta perkembangan sebuah negara bernama Malaysia.

Dengan bebasnya negara daripada belenggu penjajahan bermakna perjuangan mendapatkan kemerdekaan juga berakhir, tetapi ia juga bermakna bermulanya perjuangan mengisi kemerdekaan.Semangat merdeka juga terus disemai bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat akan betapa payahnya perjuangan menjadi negara yang bebas dari sebarang unsur-unsur penjajahan. Bagaimanapun, masyarakat Melayu tidak bersendirian kerana pemimpin Melayu sedar bahawa tanpa pembabitan bangsa lain, perjuangan ini tidak akan berjaya kerana melalui kemerdekaan, Malaya akan ditadbir di bawah satu sistem di mana semua bangsa akan bersatu.
Rentetan demi rentetan peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara mungkin masih segar dalam kepala golongan tua, namun bagi golongan muda hanya semangat ini yang dibawa bersama dalam menyemarakkan hari kemerdekaan.Kibaran merah putih Jalur Gemilang kini menjadi pembangkit semangat kemerdekaan. Sana-sini ia diarak bagi membuakkan rasa kasih dan cinta kepada negara yang memberikan segala kemewahan dan peluang kepada rakyatnya.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai bahan digunakan bagi membentuk Jalur Gemilang menandakan betapa semaraknya keinginan semua anggota masyarakat untuk terus menjadi sebuah negara berdaulat yang merdeka.

Justeru itu, sama-samalah kita mengubah sikap dan kembali ke landasan sebenar supaya tidak terus hanyut dan leka dengan keselesaan yang dinikmati hari ini. Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang anggotanya bertatasusila luhur, berdaya maju, melindungi dan mematuhi serta memelihara undang-undang dan peraturan. Untuk membentuk masyarakat madani, pemupukan nilai-nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiyah secara berkesan penting kerana pembangunan material serta kepesatan perkembangan ekonomi semata-mata belum tentu menjanjikan terbinanya masyarakat yang bermoral.

AJK PPTW mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-59, kepada warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor. 

Khamis, 25 Ogos 2016

KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG SEMPENA ULANG TAHUN KEMEREDKAN KE-59 MALAYSIA PERINGKAT PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT.

Image result for tema hari kemerdekaan 2015

Sempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-59, Pertubuhan Penduduk Taman Warisan mengadakan kempen menggalakkan kibar Jalur Gemilang di setiap kediaman masing-masing. Kempen brtujuan untuk menyemaikan semangat patriotisme dikalangan penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat terutama dikalangan kanak-kanak. Patriotisme adalah sentimen nasional yang menekankan aspek kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara.

Salam Ulang Tahun Hari  Kemerdekaan Malaysia Ke- 59, tahun 2016  untuk seluruh warga Taman Warisan, Peserai  Batu Pahat. 

Khamis, 21 Julai 2016

MALAM KEEMPAT (20 JULAI 2016) : MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM MARHABAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1437H/2016M, TAMAN WARISAN, PESERAI, BATU PAHAT.


Alhamdulillah, marilah kita bersama memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, Tuhan yang Maha Agung kerana dengan limpah kurniaNya jua Program Marhaban dan Majlis Penutup Marhaban Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1437H/2016M yang dirancang berjalan dengan jayanya. 

Kunjungan Marhaban dari rumah ke rumah, yang mana acara kemuncaknya pada hari Rabu (malam Khamis) 20 Julai 2016 di Jalan Warisan 2, Taman Warisan. Pada malam keempat  ini sebanyak 7 buah rumah telah dapat dikunjungi di Jalan Warisan 1 & 2. Tahun ini giliran warga Jalan Warisan 2 mengendalikan Majlis Penutupan Program Marhaban Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1437H/2016M. 

Program ini bertujuan untuk menyuburkan rasa cinta dan kasih sayang di kalangan kariah Taman Warisan dan menzahirkan syiar Islam, di samping menguatkan semangat perpaduan dan silaturrahim sesama warga Taman Warisan Perserai, Batu Pahat, Johor.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada warga Taman Warisan kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis tersebut. 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada para penyumbang, samada sumbangan berbentuk wang ringgit mahupun peralatan dan barang keperluan. Kutipan Tabung Marhaban Sambutan Aidil Fitri Pertubuhan Penduduk Taman Warisan bagi tahun 1437H/2016M berjumlah  RM 1000.50

Sekalung tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan Program Marhaban dan Majlis Penutupan Marhaban Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Batu Pahat, Johor.

Agenda Majlis Penutup Marhaban PPTW 1437H/2016M (10.30 Malam)  :
  • Jamuan Hari Raya
  • Ucapan Aluan Pengerusi Pertubuhan Penduduk Taman Warisan
  • Pengisytiharan Kutipan Tabung Marhaban 1437H/2016M
  • Cabutan Nama Bertuah 
  • Bacaan Doa oleh Tn. Hj. Mazlan bin Saman (Tuan Imam Masjid Jamek Ar-Raudhah Peserai, Batu Pahat)
  • Bersurai







Rabu, 20 Julai 2016

MALAM KETIGA (19 JULAI 2016) : MAJLIS 'BARAAN' PROGRAM MARHABAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1437H/2016M TAMAN WARISAN,PESERAI, BATU PAHAT.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, Tuhan yang Maha Agung kerana dengan limpah kurniaNya jua  Majlis "Baraan' Program  Marhaban Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1437H/2016M dapat diteruskan untuk malam  yang ketiga (19.7.2016/14 Syawal 10437H). Warga Jalan Warisan 3 dan 4 menjadi tuan rumah. Pada malam ketiga ini sebanyak 12 buah rumah telah dapat dikunjungi.  








Selasa, 19 Julai 2016

MALAM KEDUA (18 JULAI 2016) : MAJLIS 'BARAAN' PROGRAM MARHABAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1437H/2016M TAMAN WARISAN,PESERAI, BATU PAHAT.

Alhamdulillah, sama-sama kita memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, Tuhan yang Maha Agung kerana dengan limpah kurniaNya jua  Majlis "Baraan' Program  Marhaban Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1437H/2016M dapat diteruskan untuk malam  yang kedua (18.7.2016/13 Syawal 10437H). Warga Jalan Warisan 5 dan 6 menjadi tuan rumah. Pada malam kedua ini sebanyak 11 buah rumah telah dapat dikunjungi.  











Isnin, 18 Julai 2016

MALAM PERTAMA (17 JULAI 2016) : MAJLIS 'BARAAN' MARHABAN PROGRAM SAMBUTAN AIDILFITRI 1437H/2016M, TAMAN WARISAN PESERAI, BATU PAHAT.


Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, Tuhan yang Maha Agung kerana dengan limpah kurniaNya jua maka kita diberikan luangan waktu dan kesempatan, dianugerahkan kesihatan dan kecemerlangan diri. Majlis "Baraan' Program  Marhaban Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1437H/2016M yang dirancang berjalan dengan jayanya. Bermula pada 17 Julai 2016 bersamaan 12 Syawal 10437H (Ahad) dengan warga Jalan Warisan 7 menjadi tuan rumah pada malam pertama. Syukur dan puji-pujian kepada Allah, majlis malam pertama sungguh meriah, ceria dan penuh ukhwah. Pada malam pertama ini sebanyak 6 buah rumah telah dikunjungi.