Organisasi

Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor telah didaftarkan sebagai suatu pertubuhan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966, 
nombor pendaftarannya 1026-10-JHR, bertarikh 28 APRIL 2010.

UNDANG-UNDANG KECIL PERTUBUHAN PENDUDUK TAMAN WARISAN,
JALAN PESERAI MUAR, BATU PAHAT, JOHOR.

1.                  NAMA DAN PERLEMBAGAAN

Persatuan ini adalah sebuah badan kebajikan dan badan perpaduan penduduk yang dinamakan “Pertubuhan Penduduk Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor.”

Keahlian terbuka pada penduduk yang bermukim di kawasan itu dan sekitarnya.

2.                  ALAMAT YANG DIDAFTARKAN DAN TEMPAT MESYUARAT

(a)   Alamat surat menyurat No 5, Jalan Warisan 7, Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor.

(b)   Mesyuarat Agung akan diadakan di kawasan Taman Warisan / Bebas mengikut persetujuan ahli dan jawatankuasa.

(c)   Mesyuarat Bulanan akan diadakan di kawasan Taman Warisan / Bebas mengikut persetujuan ahli dan jawatankuasa.

3.                  TUJUAN

(a)   Persatuan ini bekerjasama menyatu padukan perhubungan silaturrahim antara penduduk.

(b)   Menjalankan aktiviti-aktiviti sosial, sukan, rekreasi dan kebajikan bagi manfaat ahli-ahli pertubuhan dan masyarakat umumnya.

(c)   Memberi Khairat Kematian atas kematian ahli-ahli, tanggungannya, kedua ibu bapanya serta faedah-faedah lain yang dipersetujui bersama.

(d)   Menggalakkan ahli-ahli bersikap tolong menolong serta bersama-sama menjalankan perkara-perkara yang mendatangkan kebajikan.



4.                  AHLI DAN MENJADI AHLI

(a)   Ahli-ahli terbuka kepada penduduk yang mendiami kariah Taman Warisan. Hanya satu keahlian sahaja dibenarkan bagi setiap keluarga.

(b)   Permintaan menjadi ahli hendaklah melalui borang yang disediakan persatuan dan dikirimkan kepada Setiausaha. Pencadang dan penyokong mestilah dari ahli yang sah.

(c)   Diterima keahliannya setelah mendapat kelulusan dan disahkan oleh Jawatankuasa.

(d)   Ahli yang bertukar atau pindah dari Taman Warisan masih boleh menjadi ahli dengan syarat mereka menyempurnakan yuran dan bayaran mengikut undang-undang persatuan ini.

(i)            Atau membayar yuran atau bayaran keahlian sebanyak RM120.00

(ii)          Segala yang faedah dan syarat adalah tertakluk dalam undang-undang persatuan ini.

(e)   Apabila telah dibayar bayaran-bayaran yang dikehendaki, orang yang bermohon akan didaftarkan namanya sebagai ahli. Senaskah undang-undang kecil akan diberi kepadanya.

5.                  AHLI BERSEKUTU DAN MENJADI AHLI

(a)   Ahli BERSEKUTU terbuka kepada penduduk atau waris yang mendiami kariah Taman Warisan

(i)   Isteri atau waris dipanggil ahli bersekutu.

(b)   Permintaan menjadi ahli bersekutu hendaklah melalui borang yang disediakan persatuan dan dikirimkan kepada Setiausaha. Pencadang dan Penyokong mestilah dari ahli yang sah.

(c)   Diterima keahliannya setelah mendapat kelulusan dan disahkan Jawatankuasa.

(d)   Ahli yang bertukar atau pindah dari Taman Warisan masih boleh menjadi ahli dengan syarat mereka menyempurnakan yuran dan bayaran mengikut undang-undang persatuan ini.


(i)  Atau membayar yuran atau bayaran keahlian sebanyak RM120.00

(ii)                Segala yang faedah dan syarat adalah tertakluk dalam undang-undang persatuan ini.

(e)   Apabila telah dibayar bayaran-bayaran yang dikehendaki, orang yang bermohon akan didaftarkan namanya sebagai ahli. Senaskah undang-undang kecil akan diberi kepadanya

6.                  YURAN MASUK DAN LAIN-LAIN YURAN

(a) Yuran masuk bagi seseorang ahli dan ahli bersekutu ialah sebanyak   RM120.00 disertakan bersama borang keahlian menjadi ahli

(b)      Yuran bulanan sebanyak RM5.00 sebulan atau RM60.00 setahun hendaklah   dibayar pada persatuan ini.

(c)      Yuran masuk menjadi ahli hendaklah disimpan dan digunakan sebagai    urusan pentadbiran persatuan ini.

(d)      Yuran bulanan ahli-ahli hendaklah digunakan sebagai bayaran khairat kematian dan kira-kira bulanan hendaklah diasingkan dari bayaran yuran masuk.

(e)      Ahli-ahli yang tidak menjelaskan yuran bulanan tiga (3) bulan berturut hendaklah diberitahu oleh Setiausaha supaya ahli menjelaskan hutangnya dalam masa empat belas (14) hari dari tarikh surat pemberitahuan itu., dan jika tidak ditunaikan maka perkara ini akan dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa (keputusan Muktamad)

(f)        Apabila seseorang yang telah berhenti atau diberhentikan daripada menjadi ahli, mohon masuk menjadi ahli semula dan diterima oleh Jawatankuasa, maka hendaklah beliau menjelaskan segala hutang-hutang yang masih dihutang masa lalu. Yuran masuk menjadi ahli perlu dibayar semula.

(g)      Yuran ahli seumur hidup hanya diberi pada ahli yang menjadi ahli biasa dahulu. (lazimnya penyewa) dan mendapat surat pengesahan pertukaran ke tempat lain atas arahan majikan, surat mesti dilampirkan dan disahkan.


7.                  WANG PENDAPATAN

(a)   Kesemua wang-wang yang diterima daripada bayaran yuran masuk , yuran bulanan dan derma atau sumbangan hendaklah dimasukkan ke dalam akaun simpanan bank, dengan nama Pertubuhan Penduduk Taman Warisan.

(b)   Wang dari kira-kira tersebut boleh dikeluarkan dengan bersama-sama ditandatangani oleh mana-mana dua orang jawatankuasa sama ada (i) Pengerusi, (ii) Bendahari , (iii) Setiausaha untuk membayar khairat kematian dan kebajikan-kebajikan lain dalam undang-undang kecil ini.

(c)   Perbelanjaan untuk aktiviti mesti mengikut bajet yang ditetapkan oleh ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

(d)   Bendahari dibenar menyimpan wang di tangan tidak melebihi RM300.00 bagi tujuan membayar khairat kematian dan kegunaan runcit.

(e)   Sebarang Pentadbir dan Jawatankuasa yang menggunakan wang-wang dengan tidak ketentuan atau melangkaui bajet yang telah ditetapkan ahli hendaklah mengganti balik wang-wang yang telah digunakan.

(f)     Segala aktiviti yang melibatkan wang persatuan hendaklah dibentangkan dalam laporan kewangan bulanan (mesyuarat Jawatankuasa) dan laporan kewangan dalam mesyuarat Agung Persatuan.

8.                  BAYARAN WANG KHAIRAT KEMATIAN

(a)   Wang khairat hanya dibayar sekali sahaja pada setiap satu kematian mengikut bagaimana undang-undang persatuan. Kutipan akan dipungut balik sama rata jika yuran bulanan tidak mencukupi bagi menampung khairat tersebut.

(b)   Seorang ahli tidak berhak mendapat bayaran khairat kematian melainkan telah menyempurnakan yuran masuk dan yuran bulanan yang ditetapkan persatuan.

(c)   Wang khairat ahli akan diserahkan pada waris terdekat dengan permohonan yang disertakan sijil atau akuan kematian pendaftar kematian atau pihak berkuasa yang layak dan waris yang dilantik sahaja mengikut senarai nama dalam surat permohonan semasa menjadi ahli.

9.                  KHAIRAT KEMATIAN AHLI DAN TANGGUNGANNYA

(a)   Ahli ( suami ), jika berlaku kematian berhak mendapat RM 400.00

(i)     Ahli bersekutu berhak mendapat faedah seperti dalam terma dan syarat undang-undang kecil persatuan ini.

(b)   Pasangan isteri/suami, jika berlaku kematian berhak mendapat RM 200.00

      (c)  Anak ahli dalam tanggungan yang didaftarkan semasa 
      permohonan masuk di mana umur tidak melebihi 18 tahun,
      jika berlaku kematian berhak mendapat  RM100.00
     
(i)               Anak yang didaftarkan selepas bersalin atau kematian yang disahkan selepas bersalin, jika berlaku kematian berhak mendapat RM100.00

(ii)             Jika berlaku kematian anak kembar yang berbilang-bilang dalam sehari maka persatuan akan mengeluarkan khairat mengikut peraturan “ c (i) “. dan jika terdapat kematian pada anak kembar tersebut pada hari berlainan ahli berhak mendapat khairat RM 100.00 khairat mengikut peraturan “c (i) “

(d)   Anak angkat dan anak tiri ahli yang didaftarkan semasa permohonan masuk di mana umur tidak melebihi 18 tahun jika berlaku kematian berhak mendapat RM100.00
.
(i)               Anak angkat dan anak tiri yang tidak didaftarkan semasa permohonan masuk di mana umur tidak melebihi 18 tahun, jika berlaku kematian ahli hanya mendapat RM50.00 sebagai tanda ikhsan.

(ii)             Ibu, bapa, ibu mertua, bapa mertua walau di mana berada jika berlaku kematian ahli berhak mendapat RM100.00

(iii)            Ibu tiri, bapa tiri, jika berlaku kematian, ahli hanya akan mendapat RM50.00 sebagai tanda ikhsan.

10.              LANTIKAN WARIS-WARIS

(a)   Seseorang ahli boleh melantik beberapa waris sebagaimana yang dinyatakan dalam borang permohonan masuk.

(b)   Seseorang ahli boleh membatalkan atau meminda nama-nama waris dengan bersurat yang dihantar kepada Setiausaha untuk direkodkan dengan syarat mesti dibuat semasa hayatnya sahaja.

(c)   Jika ahli tiada penama waris, segala bentuk bayaran akan dibagi kepada waris yang tersekat yang disahkan Jawatankuasa.

(d)   Jika penama yang dilantik bukan dari kalangan waris, surat lantikan penama mesti dilakukan di hadapan dan disahkan seseorang penolong pendakwa (Majestarte)

11.              PERLEMBAGAAN DAN PEMERINTAH

Kuasa tertinggi bagi persatuan ini terletak pada Pengerusi dengan tertakluk pada kuasa Jawatankuasa dan berlandaskan undang-undang kecil.

12.              MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

(a)   Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan dalam bulan Mac atau dalam bulan sehabis-habis derasnya. Sesudah memberitahu 14 hari lebih dahulu kepada ahli dengan penyata tahunan. (Ini pemilihan pegawai dan Jawatankuasa baru)

(b)   Agenda mesyuarat hendaklah disediakan oleh Setiausaha, sesudah menerima laporan dari Pengerusi Biro-biro Jawatankuasa.

13.              MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA

(a)   Mesyuarat Agung Luar Biasa ini boleh diadakan dengan kehendak ahli-ahli Jawatankuasa atau permintaan dari ahli-ahli yang berhak (ahli-ahli yang berhutang dengan persatuan) selepas tempoh 14 hari dan mesti ditandatangani melebihi 15 orang persatuan ini.

(b)   Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan oleh Setiausaha. Pada bila-bila masa berlaku sesuatu perkara mustahak atau darurat dan disahkan Jawatankuasa.




14.              JAWATANKUASA DAN PEGAWAI-PEGAWAINYA

(a)   Jawatankuasa ini adalah mengandungi 10 orang ahli terdiri daripada :-

Seorang Pengerusi
Seorang Naib Pengerusi
Seorang Setiausaha
Seorang Bendahari
Enam orang Jawatankuasa

Mereka semua adalah daripada ahli-ahli persatuan ini dan hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan dengan undi sulit atau mahupun undi terang.

Mereka mesti bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua bulan sesudah memberi notis kepada setiap jawatankuasa.

(b)   Jawatankuasa ini hendaklah menjalankan tanggungjawab dan tugas berpandukan undang-undang persatuan. Segala keputusan hendaklah diputuskan dengan undi yang terbanyak. Jika undian sama banyak, pengerusi mempunyai satu undi (casting vote) yang mana boleh diberi pada mana-mana pihak yang difikirkan wajar. Keputusannya adalah muktamad.

(c)   Pemecatan Jawatankuasa boleh dilakukan dan digantikan di dalam Mesyuarat Agung Khas. Mesyuarat Jawatankuasa Khas boleh melantik pemangku bagi jawatan yang kosong mungkin disebabkan kematian atau berhenti menjadi ahli, ini berlaku sehingga Mesyuarat Agung Tahunan dilaksanakan.



15.              KEWAJIPAN PEGAWAI-PEGAWAI

(a)   Pengerusi hendaklah menjadi pengerusi dalam semua mesyuarat, menandatangani butir-butir mesyuarat perlu disahkan olehnya, mempunyai satu cara (casting vote) dan sentiasa menerima pandangan atau suara dari ahli-ahlinya serta membincangkan di setiap mesyuarat jawatankuasa.

(i)               Tugas ini akan diambil alih oleh Penolong Pengerusi jika sekiranya tiada Pengerusi persatuan ini.

(b)   Jika pengerusi dan penolong pengerusi tiada semasa Mesyaurat Agung Tahunan ahli-ahli bolehlah melantik seorang ahli biasa untuk mempengerusikan mesyuarat melalui cadangan dan undian terbanyak jika nama yang dicadang melebihi 1 orang.

(c)   Setiausaha hendaklah menghadiri segala mesyuarat persatuan, merekodkan minit-minit mesyuarat serta menyimpan satu peringatan yang berkenaan butir-butir mesyuarat. Adalah menjadi kewajipan selain mewakili pengerusi persatuan.

(i)       Menjalankan kerja surat menyurat bagi pihak persatuan
               sebagaimana diarahkan oleh Jawatankuasa.

(ii) Menerima permintaan menjadi ahli dan menyelenggarakan menurut    kehendak undang-undang.

(iii)            Menyediakan buku daftar nama ahli-ahli, hard copy, soft copy, seperti My kad, nama tanggungannya, warisnya, rujukan alamat lain dan no telefon.

(iv)           Menghantar kepada pendaftar pertubuhan penyata tahunan dan penyata kira-kira dalam tempoh 28 hari selepas mesyaurat agung.

(d)   Bendahari

(i)            Menyediakan buku daftar nama ahli-ahli, hard copy, soft copy, seperti My kad, nama tanggungannya, warisnya, rujukan alamat lain dan no telefon tentang butiran bayaran ahli-ahli, wang daftar masuk, yuran sumbangan dan derma.

(ii)            Menyimpan Buku Bank dan Cek serta mengeluarkan resit sewaktu menerima wang, menyerahkan wang bagi setiap aktiviti-aktiviti persatuan.

(iii)            Menyediakan buku kira-kira wang keluar masuk.

(iv)        Membayar segala tuntutan dan bayaran menurut kehendak undang-undang.

(v)             Mengeluarkan wang daripada Bank hendaklah mengikut sebagaimana fasal 7(b) dibenarkan wang runcit di tangan bagi tujuan keperluan sebagaimana fasal 7 (d).




(e)   Pemeriksa Kira-kira

Dua orang ahli bukan anggota Jawatankuasa akan dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Tugas mereka adalah :-

(i)                  Hendaklah menjalankan pemeriksaan enam (6) bulan sekali ke atas kedudukan kewangan persatuan iaitu setelah diberitahu oleh setiausaha.

(ii)                Boleh menjalankan pemeriksaan pada bila-bila masa dengan kehendak Pengerusi atau diperintahkan oleh Jawatankuasa.

(iii)            Hendaklah memeriksa semua buku-buku kewangan persatuan, resit-resit yang dibayar dengan menandatangani buku resit tersebut.

(iv)           Setelah berpuashati atas setiap pemeriksaan hendaklah ianya memberi pengakuan yang sah.

16.              BERHENTI

(a)   Ahli yang ingin berhenti menjadi ahli, mesti memberitahu kepada Setiausaha YKH dengan bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh ia cadang berhenti.

(b)   Segala tuntutan dari apa yang telah dibayar mengikut perlembagaan persatuan ini, tidak boleh dituntut atau dibawa ke mahkamah.


17.              CUKUP BILANGAN MESYUARAT

(a)   Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah tidak kurang daripada tiga (3) kali jumlah ahli-ahli Jawatankuasa (24)

(b)   Mesyuarat Jawatankuasa adalah cukup bilangan mesyuarat Jawatankuasa persatuan ini sekurang-kurangnya mengandungi setengah ( ½ ) daripada jawatankuasa dan pegawai.


18.              MEMINDA UNDANG-UNDANG

(a)   Undang-undang Persatuan ini boleh dipinda atau ditambah hanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa sahaja. Segala pindaan-pindaan dan tambahan-tambahan yang diusulkan hanya berkuatkuasa setelah mendapat kelulusan oleh Pendaftar pertubuhan.

(b)   Pindaan undang-undang berkaitan khairat kematian hanya boleh dibuat dengan persetujuan tiga perempat ( ¾ ) dari jumlah ahli-ahli dengan cara undi sulit sahaja.

19.              BIRO-BIRO PERSATUAN

(a)   Biro-biro yang dipersetujui ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Luar Biasa dibenarkan aktif seperti mana tujuan persatuan ini diwujudkan.



BIRO EKONOMI

1.      Merancang dan melaksanakan kegiatan-kegiatan ekonomi
2    Menyuarakan pandangan atau masalah ahli bagi diambil tindakan atau diambil ingatan oleh jawatankuasa.
3.      Membantu jawatankuasa melaksanakan program-program  ekonomi yang dirancangkan oleh PPTW atau agensi-agensi lain.
4.   Mengawasi perjalanan pengusaha-pengusaha Taman Warisan demi kemajuan dan kebajikan ahli
5.    Mengawasi perjalanan pengusaha-pengusaha demi kemajuan dan kebajikan  pengguna atau ahli.

BIRO PENDIDIKAN

1.                   Mengawasi dan merancang program-program yang berkaitan dengan pendidikan seperti kegiatan kelas menghadapi peperiksaan, kegiatan sukan sekolah dan kegiatan ilmiah serta keagamaan
2.                   Mengawasi perjalanan, kemajuan dan kebajikan kelas-kelas mengaji seumpamanya.
3.                   Bertindak sebagai saluran atau penghubung di antara jawatankuasa dengan pihak sekolah dan PIBG.
4.                   Melaporkan tentang kemajuan atau masalah yang dihadapi oleh pelajar atau pun sekolah
5.                   Bertindak sebagai saluran atau penghubung di antara jawatankuasa dengan pihak sekolah dan PIBG
6.                   Menjalankan kegiatan yang berkaitan dengan kebaikan pelajar seperti mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan dari penduduk atau agensi-agensi kerajaan untuk menjalankan sesuatu kegiatan bagi faedah pelajar.

BIRO AGAMA & DAKWAH

1.       Merancang dan melaksanakan kegiatan-kegiatan keagamaan mengadakan kelas-kelas Fardhu Ain, menganjurkan ceramah-ceramah atau kursus-kursus keagamaan.
2.    Bertanggungjawab mengawasi masalah-masalah yang berkaitan dengan agama di Taman Warisan seperti maksiat, judi, arak dan sebagainya
3.     Mengawasi perjalanan Balai Islam/suaru, membantu menjaga bangunan-bangunan keagamaan.
4.     Membantu PPTW atau agensi-agensi lain menjalankan kegiatan-kegiatan agama yang telah dirancangkan di peringkat jawatankuasa atau agensi-agensi tersebut.


BIRO KESELAMATAN

1.        Merancang dan melaksanakan kegiatan-kegiatan yang boleh menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat terhadap bahayanya penyalahgunaan dadah, kepentingan pengetahuan asas pertolongan cemas dan keselamatan.
2.       Membantu pihak yang bertanggungjawab mengawasi keselamatan Taman Warisanr daripada gejala-gejala buruk seperti pecah rumah, penagihan dadah, perjudian, maksiat dan sebagainya.
3.        Merancang, menggalakkan dan mengatur pembentukan pasukan-pasukan sukarela seperti Bulan Sabit Merah, Bomba dan sebagainya   
4.        Mengawasi perjalanan dan melaporkan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Taman Warisan  bagi makluman jawatankuasa

BIRO KEBAJIKAN

  1. Mewujudkan dana khairat PPTW.
  2. Menyediakan daftar kematian yang dikebumikan di tanah perkuburan kariah masjid dan surau yang lengkap dan mudah dirujuk.
  3. Mengadakan program bersama dengan JKKK, NGO, koporat dan jabatan-jabatan kerajaan.
  4. Mengadakan majlis-majlis seperti akad nikah kahwin, khatam al-Quran, majlis hol, temu jodoh, gotong-royong, balik kampung, tokoh kariah dan bapa mithali.
  5. Menguruskan aktiviti kesihatan seperti rawatan, berkhatan beramai-ramai, dan penerangan HIV dan lain-lain
  6. Membuat kajian dan statistik ahli kariah mengenai bilangan penduduk seperti golongan lelaki, wanita, remaja, kanak-kanak, Islam dan bukan Islam, fakir miskin, mualaf, ibu tunggal, kanak-kanak istimewa, golongan profesional, ahli-ahli koporat dan lain-lain.
  7. Mengadakan usaha memberi bantuan kepada pelajar-pelajar miskin, anak-anak yatim, golongan fakir dan miskin, orang sakit, uzur, musafir dan mualaf.
  8. Memberi pengiktirafan dan anugerah kepada ahli dan anak-anak ahli yang berjaya dalam segala lapangan dan pendidikan.

BIRO WANITA

1.  Merancang serta melaksanakan kegiatan yang berkaitan dengan pembangunan kaum wanita seperti mengadakan kelas-kelas fardhu ain untuk wanita, kelas masakan, kelas ekonomi rumahtangga, kelas jahitan, kelas kraftangan, kelas aerobik dan sebagainya.
2.        Bekerjasama dengan Pertubuhan Wanita yang lain seperti Kelab Keluarga, dan sebagainya.
3.       Memaklumkan kepada jawatankuasa tentang masalah yang dihadapi oleh kaum wanita di Taman Warisan.
4.    Membantu jawatankuasa melaksanakan kegiatan-kegiatan untuk kaum wanita terutama ibu tunggal dan wanita yang ditinggalkan suami.


AJK KECIL BIRO WANITA

1.        Membantu jawatankuasa dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan yang telah dirancangkan.
2.        Membawa persoalan-persoalan dan masalah-masalah penduduk yang diwakili dan menyampaikan segala keputusan jawatankuasa kepada penduduk. 
3,        Menyuarakan pandangan-pandangan demi kebaikan dan kemajuan masyarakat atau jalan/lorong  yang diwakili.
4.        Mematuhi segala keputusan yang telah diambil dalam mesyuarat jawatankuasa dan memastikan keputusan tersebut dilaksanakan