

Kewujudan
banyak produk kecantikan di pasaran, adakala kita terlupa pada amalan dahulu
kala menggunakan bahan semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran
sebagai agen kecantikan. Selain boleh dimakan, kandungan nutrisi serta vitamin
pada buah-buahan segar ini membantu menjadikan kulit lebih sihat, cantik dan
berseri. Lebih penting sama ada dijadikan pembersih, penyental atau masker,
kandungannya benar-benar bersih tanpa campuran bahan kimia.
Tomato atau nama saintifiknya Iycopersicon esculetum sememangnya digemari
ramai. Sama ada dimakan begitu sahaja atau digandingkan dalam pelbagai jenis
masakan, tomato menjanjikan keenakan tersendiri. Hidangan Mediterranean dan
Asia Barat menjadikan tomato sebagai bahan asas yang paling kerap digunakan.
Berasal dari keluarga Solanaceae, tomato kaya dengan zat besi, serat serta
vitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan badan. Ia juga mengandungi fruktosa, glukosa,
asid folik, potasium, kalsium dan mineral garam.
Khasiat tomato juga berkait rapat dengan kecantikan kulit. Sayuran ini
dikatakan berkesan untuk mengecilkan liang roma, mengurangkan masalah jerawat
dan merawat penyakit kulit. Elemen penyejuk juga mampu menyejukkan kulit yang
kasar, astringen untuk menghapuskan minyak berlebihan, dan vitamin A dan C
untuk mencerahkan kulit kusam dan mengembalikan keremajaan kulit.
Tomato boleh merawat masalah kulit seperti jerawat . Hancurkan tomato segar dan
sapu rata bahan tersebut pada kulit muka yang berjerawat. Biarkan sejam atau
lebih sebelum dibilas dan dikeringkan. Buat setiap hari sehingga jerawat itu
hilang. Ia juga boleh membersihkan kulit wajah anda. Dengan menggunakan
campuran tomato dan avokado amat sesuai untuk kulit kombinasi (berminyak, biasa
dan kering) kerana ia menggabungkan astringen dan antiseptik yang boleh
mengurangkan kandungan minyak serta noda hitam pada kulit.
Topeng penyegar muka ini kaya dengan vitamin A, C dan E dimana kesemuanya
penting untuk kulit yang sihat. Untuk membuat topeng muka ini, hancurkan tomato
dan avokado dalam mangkuk dan sapukan pada muka, bilas selepas 20 ke 30 minit.
Menggunakan cara yang mudah, tanpa mengeluarkan belanja yang banyak sesiapa
juga boleh melakukannya. Sama ada buah-buahan ini diletakkan pada wajah begitu
saja atau dilenyek dijadikan masker, jika dilakukan secara berkala akan
memberikan kesan menakjubkan pada kulit.
Namun sebelum memakainya pada wajah, jangan lupa cuci atau bersihkan wajah
terlebih dulu. Ada baiknya sekiranya menggunakan air suam supaya liang roma
lebih terbuka dan mampu meresap nutrisi daripada bahan semula jadi ini pada
kulit wajah anda.