Sebagaimana Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara menjadi saksi
turunnya bendera Union Jack, begitulah juga bangunan dengan reka bentuk
Moorish itu menjadi saksi peningkatan dalam pembangunan serta
perkembangan sebuah negara bernama Malaysia.
Dengan bebasnya negara daripada belenggu penjajahan bermakna perjuangan
mendapatkan kemerdekaan juga berakhir, tetapi ia juga bermakna
bermulanya perjuangan mengisi kemerdekaan.Semangat merdeka juga terus
disemai bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat akan betapa
payahnya perjuangan menjadi negara yang bebas dari sebarang unsur-unsur
penjajahan. Bagaimanapun, masyarakat Melayu tidak bersendirian kerana
pemimpin Melayu sedar bahawa tanpa pembabitan bangsa lain, perjuangan
ini tidak akan berjaya kerana melalui kemerdekaan, Malaya akan ditadbir
di bawah satu sistem di mana semua bangsa akan bersatu.
Rentetan demi rentetan peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara
mungkin masih segar dalam kepala golongan tua, namun bagi golongan muda
hanya semangat ini yang dibawa bersama dalam menyemarakkan hari
kemerdekaan.Kibaran merah putih Jalur Gemilang kini menjadi pembangkit
semangat kemerdekaan. Sana-sini ia diarak bagi membuakkan rasa kasih dan
cinta kepada negara yang memberikan segala kemewahan dan peluang kepada
rakyatnya.
Tidak cukup dengan itu, pelbagai bahan digunakan bagi membentuk Jalur
Gemilang menandakan betapa semaraknya keinginan semua anggota masyarakat
untuk terus menjadi sebuah negara berdaulat yang merdeka.
Justeru itu, sama-samalah kita mengubah sikap dan kembali ke landasan
sebenar supaya tidak terus hanyut dan leka dengan keselesaan yang
dinikmati hari ini. Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang
anggotanya bertatasusila luhur, berdaya maju, melindungi dan mematuhi
serta memelihara undang-undang dan peraturan. Untuk membentuk masyarakat
madani, pemupukan nilai-nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiyah
secara berkesan penting kerana pembangunan material serta kepesatan
perkembangan ekonomi semata-mata belum tentu menjanjikan terbinanya
masyarakat yang bermoral.
AJK PPTW mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-60, kepada warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan