TANGGAL
 31 Ogos datang lagi - tanda meningkat setahun lagi usia kemerdekaan 
negara. Ketika laungan kemerdekaan di Stadium Merdeka yang 
dikumandangkan Tunku Abdul Rahman mengiang-ngiang di telinga, kini 
Malaysia menyambut lagi ulang tahun ke-60.
Sebagaimana Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara menjadi saksi 
turunnya bendera Union Jack, begitulah juga bangunan dengan reka bentuk 
Moorish itu menjadi saksi peningkatan dalam pembangunan serta 
perkembangan sebuah negara bernama Malaysia.
Dengan bebasnya negara daripada belenggu penjajahan bermakna perjuangan 
mendapatkan kemerdekaan juga berakhir, tetapi ia juga bermakna 
bermulanya perjuangan mengisi kemerdekaan.Semangat merdeka juga terus 
disemai bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat akan betapa 
payahnya perjuangan menjadi negara yang bebas dari sebarang unsur-unsur 
penjajahan. Bagaimanapun, masyarakat Melayu tidak bersendirian kerana 
pemimpin Melayu sedar bahawa tanpa pembabitan bangsa lain, perjuangan 
ini tidak akan berjaya kerana melalui kemerdekaan, Malaya akan ditadbir 
di bawah satu sistem di mana semua bangsa akan bersatu.
Rentetan demi rentetan peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara 
mungkin masih segar dalam kepala golongan tua, namun bagi golongan muda 
hanya semangat ini yang dibawa bersama dalam menyemarakkan hari 
kemerdekaan.Kibaran merah putih Jalur Gemilang kini menjadi pembangkit 
semangat kemerdekaan. Sana-sini ia diarak bagi membuakkan rasa kasih dan
 cinta kepada negara yang memberikan segala kemewahan dan peluang kepada
 rakyatnya.
Tidak cukup dengan itu, pelbagai bahan digunakan bagi membentuk Jalur 
Gemilang menandakan betapa semaraknya keinginan semua anggota masyarakat
 untuk terus menjadi sebuah negara berdaulat yang merdeka.
Justeru itu, sama-samalah kita mengubah sikap dan kembali ke landasan 
sebenar supaya tidak terus hanyut dan leka dengan keselesaan yang 
dinikmati hari ini. Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang 
anggotanya bertatasusila luhur, berdaya maju, melindungi dan mematuhi 
serta memelihara undang-undang dan peraturan. Untuk membentuk masyarakat
 madani, pemupukan nilai-nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiyah 
secara berkesan penting kerana pembangunan material serta kepesatan 
perkembangan ekonomi semata-mata belum tentu menjanjikan terbinanya 
masyarakat yang bermoral.
AJK PPTW mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-60, kepada warga Taman Warisan, Peserai, Batu Pahat, Johor.