Perlu disedari, merayakan puasa ini bukan hanya amalan penganut agama 
Islam. Penganut agama Hindu sebelum membayar niat membawa Kavadi di Batu
 Caves juga akan berpuasa. Penganut agama Yahudi juga berpuasa untuk 
menyambut hari kebesaran Yom Kippur. Dalam pelbagai mazhab, agama 
Kristian ada ritual berpuasa.
Ada arahan agama yang melarang makan dari subuh hingga senja. Ada 
yang berpuasa setelah makan tengah hari seperti amalan harian para rahib
 dan sami yang tinggal di Pagoda. Ada berpuasa yang hanya menolak daging
 dan makanan berdarah. Dari semenjak zaman kuno lagi, amalan berpuasa 
ini telah wujud. Manusia merasa bersyukur dan berterima kasih kepada 
Yang Maha Esa kerana telah memberikan mereka nikmat makanan.
Dari segi teorinya, jika kita tidak makan dan kita berlapar, maka 
kita akan merasakan betapa nikmatnya makanan yang ada disekeliling kita.
 Dari segi teorinya, apabila kita berlapar, maka sang penganut agama 
akan berupaya untuk merapati Tuhan. Dari segi teorinya dikatakan jika 
kita berpuasa, maka kita akan sama merasakan bagaimana kelaparan selalu 
menyerang fakir miskin yang tergelincir makan.
Semua hujah dari teori-teori  ini telah saya dengar ketika saya 
membesar. Teori ini makin banyak kedengran ketika bulan Ramadan. 
Teori-teori ini semuanya dilihat indah dan suci jika kita memandang 
sekali imbas.  Paling tepat pandangan teori ini ialah, apabila berpuasa 
kita akan merasa lapar. Apakah kelaparan berpuasa, ini akan membuka 
kesedaran hakiki untuk memahami makan, makanan, lapar dan kelaparan.
Kita sering melihat imej-imej kelaparan. Imej-imej ini atau lebih 
tepat lagi imej kebuluran di Ethiopia telah sama-sama kita lihat pada 
tahun-tahun 80-an dahulu. Kini, imej-imej ini telah beralih pula ke 
Somalia dan ke Sudan. Imej rangka anak-anak kecil yang kebuluran tidak 
makan ini tidak ada sangkut paut dengan amalan agama atau berlapar untuk
 mencari ketenangan hidup. Apa yang berlaku ialah kemarau yang melanda 
dan telah memusnahkan tanaman.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh kacau bilau politik atau perang. 
Justeru, saya ingin menimbulkan satu jalur wacana tentang lapar. Dari 
mana lapar datang? Kenapa ada yang lapar tanpa makanan? Kenapa ada pula 
yang ditimbuskan oleh bertimbun-timbun makanan. Rasa saya pada bulan 
Ramadan ini adalah masa ketika yang tepat untuk kita semua memahami 
kenapa ada yang lapar, ada yang berlapar, ada yang sengaja nak lapar.
Kita selalu terbaca bagaimana kemarau berpanjangan yang mengakibatkan
 kebuluran. Imej dan kisah-kisah kebuluran ini sering kita ketahui 
datangnya dari Afrika. Pada tahun-tahun 90-an dahulu, warga dunia juga 
telah mendengar tentang kebuluran yang telah menimpa Korea Utara.
Kalau di Ethiopia dan Somalia punca kebuluran ialah kemarau, manakala
 di Korea Utara puncanya ialah banjir. Kering-kontang akan membunuh 
semua tanaman. Bumi yang subur akan menjadi kering berdebu. Bila diampuh
 oleh air, tanaman juga akan mati. Tak ada air manusia akan kebulur tak 
makan. Terlalu banyak air pun, manusia akan kebulur tak makan. Lihat 
betapa paradoksnya perjalanan hidup manusia ini.
Sebenarnya, kebuluran yang wujud dalam dunia hari ini adalah hasil 
kraftangan manusia sendiri. Tidak betul apabila dikatakan bahawa dunia 
hari ini kekurangan makanan. Ini satu pembohongan. Dengan teknoloji 
tercanggih, dengan teknik pertanian moden - manusia seluruh dunia tidak 
perlu puasa untuk kebulur. Pengeluaran makanan dalam dunia ini mencukupi
 untuk warga dunia - ini kenyataan dari FAO - lembaga makanan Pertubuhan
 Bangsa-bangsa Bersatu.
Untuk memahami kenapa ada lapar mari kita lihat Sudan. Negara di 
selatan Mesir ini dilintasi oleh Sungai Nil. Ini menjadikan Sudan 
wilayah bumi yang subur. Mengikut kajian, penghasilan makanan di Sudan 
sahaja telah cukup untuk memenuhi keperluan makanan untuk semua negara 
Arab. Tetapi ini hanya kajian. Hakikatnya, kebuluran sering menyerang 
Sudan.
Kebuluran di Sudan ini bukan kerana Tuhan murka. Bukan kerana warga 
Sudan dilaknati. Memang betul ada bencana alam. Tetapi bukan ini yang 
menyebabkan kebuluran - tetapi perang merebut 'wilayah minyak' yang 
tidak diumumkan kepada dunia - sedang membulurkan warga Sudan.
Kemudian kita beralih ke India. Dari India kita selalu terlihat imej 
anak kecil yang tulang-tulang rangka tidak terbarai kerana diikat oleh 
kulit badan. Dengan mata buntang Sang Ibu yang mengendong anak ini 
sedang  menghulur tangan, meminta-minta serpihan makanan. Kadang-kala 
kita melihat imej ratusan orang-orang kampung kurus kering sedang duduk 
mencangkung kerana telah berpuasa berbulan-bulan tanpa sahur atau tanpa 
jemputan ke bufet Ramadan.
Apa yang jelas disini bukan dunia kita ini kekurangan makanan. Tetapi
 hakikatnya pengagihan makanan ini tidak adil. Ketidakadilan pengagihan 
makanan inilah punca utama yang menimbulkan kebuluran. Bencana alam dan 
kacau bilau politik hanya rempah rampai untuk menambahkan lagi kebuluran
 itu.
Imej ibu dan anak-anak yang kurus kering dari India atau Afrika itu 
sebenarnya tidak menggambarkan apa yang sebenarnya terjadi. Gambar 
kebuluran di Darfur tidak menceritakan bagaimana orang-orang kampung 
telah dihalau keluar kerana dibawah tanah pertanian mereka terdapat 
telaga minyak. Begitu juga di India, orang-orang kampung ini dipaksa 
pindah kerana tanah-tanah pertanian mereka kini diperlukan untuk 
dijadikan wilayah perindustrian. Atau tanah pertanian mereka di rampas 
tuan tanah atau tergadai kerana hutang.
Kaum tani ini bergantung hidup kepada tanah. Walaupun mereka tidak 
memiliki tanah yang luas, tetapi mereka boleh bercucuk tanam untuk 
mendapat bahan makanan. Ramai pula yang tidak bertanah - mereka ini 
menjual tenaga bekerja mencari makan menjual tenaga sebagai buruh tani 
di ladang dan sawah. Apabila tanah-tanah pertanian ini diubah suai untuk
 dijadikan bandar baru atau kawasan perindustrian, maka disinilah 
munculnya bibit kelaparan.
Untuk memahami bagaimana miskin dan lapar datang, mari kita lihat apa
 yang sedang berlaku di Johor. Pada ketika ini, seramai 30,000 orang 
kampung - nelayan dan petani - di Pengerang sedang diancam. Sebanyak 18 
buah kampung dengan keluasan 22,500 ekar tanah pertanian akan diambil 
alih oleh kaum pemodal untuk dijadikan loji, takungan dan tempat 
penapisan minyak. Orang orang kampung di Pengerang sedang dipaksa untuk 
menjualkan tanah kampung mereka.
Kalau di India atau di Sudan, orang-orang kampung ini akan hanya 
dihalau keluar. Tanah mereka akan dirampas. Di Malaysia ini, kalau 
mengikut hati sanubari para Towkay dan Si Pemaju, orang-orang kampung di
 Pengerang ini juga wajib dihalau dan tanah mereka wajib dirampas. Ini 
untuk mengurangkan kos pembinaan dan mengurangkan duit pampasan.
Pak Tani yang telah beratus tahun bekerja mengeluarkan makanan kini 
wajib dipindah entah kemana. Nelayan yang sebati dengan laut kini 
dinaikan ke darat. Pak Tani dan Sang Nelayan ini menghasilkan makanan. 
Mereka tidak pernah lapar. Mereka tidak pernah kebulur. Tetapi apabila 
punca penghasilan makanan mereka dirampas, maka dari sinilah punca 
kelaparan dan kebuluran bermula.
Kita jangan merasa angkuh untuk berbangga dan mendabik dada berkata -
 tidak ada kebuluran di Malaysia.  Jangan lupa dengan detik sejarah. 
Pada bulan Disember tahun 1974 dahulu, ribuan orang-orang kampung, warga
 di Baling, Kedah telah keluar ke jalan raya kerana kebuluran. Mereka 
lapar tak makan kerana mereka miskin.
Justeru, pada anggapan saya, ceramah-ceramah Pak Lebai dan Pak Ustaz 
yang cuba menerangkan hikmah berlapar dalam bulan puasa ini - tidak 
mencukupi. Merasakan kelaparan para fakir miskin setahun sekali tanpa 
memahami kenapa mereka lapar dan bagaimana lapar datang adalah kuliah 
setengah jalan. Kelaparan fakir miskin yang kita rasakan ketika kita 
berpuasa pada bulan Ramadan ini tidak lengkap. Kita bukan hanya 
berkongsi merasa lapar tetapi seharusnya kita juga tidak mahu lagi 
sesiapa pun terus merasa lapar.
Berpuasa di bulan Ramadan  ini juga seharusnya membukakan fikrah kita
 untuk menjangkau lebih mendalam. Berupaya untuk melihat satu-satu 
fenomena itu bukan hanya dikulit  atau dibaju. Kelaparan yang sedang 
dirasakan ketika berpuasa seharusnya menenangkan fikrah untuk berupaya 
melihat alam secara menyeluruh.
Melihat alam ertinya melihat bagaimana bencana alam - banjir, taufan,
 kemarau - sebenarnya lahir dari rekacipta manusia itu sendiri. Bencana 
alam yang melahirkan kebuluran itu juga adalah hasil tanda kerakusan 
manusia merobek alam. Jika ketenangan fikrah yang dicari oleh penganut 
Islam dalam bulan Ramadan ini gagal untuk memaksa kita bertanya diri - 
kenapa ada yang lapar? Atau mencari jawapan kenapa ada yang lapar - 
walhal makanan bertimbun-timbun. Maka berlapar itu hanya dilakukan untuk
 berlapar kerana mengekor  semua warga Islam  yang berlapar pada bulan 
ini.
Jika warga Islam berpuasa hanya untuk merasakan lapar tanpa memahami 
agenda kemiskinan, maka berlapar sedemikian hanya ritual. Para ritualis 
yang lapar ini adalah mangsa terbaik untuk tuan empunya hotel yang 
sedang menyediakan 'Buffet Ramadan 100+++' yang telah mendapat tauliah 
'halal' dari Jakim.