Perkara
 ini adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara’ dan 
bercanggah dengan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu
 diperbetulkan. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan 
melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau 
agama lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan 
mereka. Umat Islam sangat dilarang dari meniru dan mengikut-ikut cara 
itu.
Islam ada memperjelaskan di dalam kitab-kitab fiqah bagaimana cara menyambut hari raya seumpama ini. Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna dan lengkap. Firman Allah S.W.T:
“Pada hari ini,
 Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan 
nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.
Kesempurnaan
 Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan 
manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat 
global seperti sistem ekonomi, pemerintahan, juga sistem kekeluargaan, pendidikan malah ia juga menyentuh sekecil-kecil perkara seperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.
Adalah
 penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai
 petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah 
masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi 
seorang insan yang bertaqwa setelah melalui ujian pada bulan Ramadan, 
kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan 
muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru
 itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang 
telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari 
lebaran Aidilfitri ini.
1. Bertakbir
-Bertakbir
 pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang 
disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya 
hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, 
iaitu ketika imam selesai berkhutbah.
Firman Allah S.W.T:
“Supaya
 kamu cukupkan bilangan puasa (sebulanRamadan), supaya kamu membesarkan 
Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu 
dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.
Adalah
 juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah
 kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri.
Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:
“Mengenai
 syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh
 kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam 
perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula 
memandang remeh sunnah ini.” – Rujuk Kitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32
Bertakbir
 sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di 
setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.
2. Lafaz ucapan selamat pada Hari Raya Aidilfitri
-Majoriti
 amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain 
pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf 
Zahir dan Batin’.
Namun,
 apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam 
meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh 
al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin 
Nufair r.a katanya:
“Apabila
 para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka 
mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah
 menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271.
3. Meneruskan qiamullail
-Jika
 sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan 
malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat
 tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya 
dengan mengerjakan solat tahajjud. 
Saranan
 ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk 
dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat 
mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan 
mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan
4. Mandi pada pagi hari raya
-Disunnahkan
 mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum 
berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi 
Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap
 hari? Beliau menjawab:“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
5. Makan sebelum solat Aidilfitri
-Disunnahkan
 kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat 
Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa 
dibenarkan berpuasa pada hari raya.
Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai
 hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar
 seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat 
hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin 
menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.
Kebiasaannya,
 Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi 
hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma
 untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa 
sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. 
Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh 
dipersoalkan).
Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah
 s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum 
memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah 
menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w 
memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun,
 jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan 
makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. 
Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum 
air.
6. Memakai pakaian yang indah
-Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya.
Imam Syafie r.h berkata:
“Aku
 lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada 
hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan 
Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia
 hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Bagi
 kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, 
namun mereka hendaklahmenghindari dari memakai pakaian yang 
bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik 
perhatian golongan lelaki.
Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:
“Mengenai
 golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus 
yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh 
memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga
 di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling 
mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya.
 Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak 
disunnahkan kepada kaum wanita.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana
 wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya 
mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
Namun
 begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau 
busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta 
kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang 
keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak 
sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang 
kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya
-Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. 
Ali bin Abi Thalib r.a:
“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun
 begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat
 solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki 
menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.
8. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya
-Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda
 s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari 
tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan 
agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan 
itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. 
Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang 
memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk 
menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah
 supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang 
yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya 
akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan 
menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.
9.Tempat perlaksanaan solat hari raya
-Sunnah
 mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat 
terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) 
merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan 
beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah 
Nabi s.a.w. Apakah musolla itu berbeza dengan masjid?
Abu Said al-Khudri r.a berkata:
“Pada
 hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke 
musolla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah 
mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
“Sesungguhnya
 mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi 
hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin 
setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali 
dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di 
sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua 
menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan 
satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir 
dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. 
Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan 
mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan 
itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koleksi Total Ritual Solat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.
10. Mengerjakan Solat Aidilfitri
-Di
 antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah 
perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat 
Islam.
 Ibn Abbas r.a berkata:
“Rasulullah
 s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan
 solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang 
solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
“Pada
 hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju
 musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di 
masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing 
dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. 
Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada 
mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Para
 jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. 
Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak 
ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan 
majlis itu.
Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
“Aku
 pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai 
solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, 
sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang 
ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.
11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
-Islam
 adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat
 Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka 
kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan 
kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan 
di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah 
sebahagian daripada syiar Islam.
Suasana
 kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, 
kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai 
baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, 
ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. 
Di
 sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri 
dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di 
tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan 
kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena 
menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan 
lunas-lunas syarak.
Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
“Mengadakan
 permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk
 pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu 
termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk 
melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah
 s.a.w sendiri telah membenarkan pendudukMadinah al-Munawwarah 
bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Anas bin Malik r.a berkata:
“Nabi
 s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari 
raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada 
kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua 
sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan 
kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah 
menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya 
Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.
12. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa
 yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari 
di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah
 keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal
 untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya 
Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana 
yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu 
Hanifah dan Imam Syafie r.h.
Namun,
 seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada 
di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh 
mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah.  
Amalan
 sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara 
serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang
 tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh 
itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan 
terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih
 bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, 
iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
PENUTUP 
-Inilah
 sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika 
menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan Hari Raya Aidilfitri menurut 
al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh
 umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan Hari Raya Aidilfitri  disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari 
dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.
Sumber: MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. Karya Bestari
 
Terima kasih kerana membaca.
- Pengrusi PPTW, Peserai, Batu Pahat.