Ahad, 12 Julai 2015

APA SALAHNYA BERI DUTI RAYA?






Setiap kali hari raya menjelma, golongan yang paling teruja pastinya kanak-kanak kerana ia merupakan waktu terbaik untuk mengumpul wang menerusi duit raya yang diterima hasil berkunjung dari rumah ke rumah.

Ada yang mengatakan pemberian duit raya ibarat secara tidak sedar sedang melahirkan anak-anak yang berjiwa materialistik selain menjadikan duit sebagai sandaran untuk berziarah...di mana kebenarannya?

Bagi pendakwah dan penceramah bebas Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, beliau menyangkal pandangan tersebut kerana berpegang pada prinsip bahawa amalan memberi termasuk duit raya adalah sesuatu yang mulia dan amat digalakkan dalam Islam.

"Apa salahnya berikan duit raya kepada kanak-kanak kerana bukankah hari raya untuk gembirakan kanak-kanak," katanya.


Sehubungan itu Ahmad Dusuki menyarankan pemberian 'angpow raya' itu diteruskan dan pada masa sama bagi mereka yang tidak berkemampuan tidak perlu tertekan untuk menyediakan duit raya.

Sementara itu, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam melontarkan pandangan berbeza dengan berkata jika tradisi memberi duit raya diteruskan, ia mungkin akan menyebabkan kanak-kanak tidak lagi mahu menziarahi rumah saudara-mara atau jiran yang tidak menyediakan 'sampul' khas untuk mereka.

"Kita takut nanti anak-anak hanya mahu pergi ziarah ke rumah yang menjanjikan duit raya dan jika ada rumah yang dikenal pasti tahun sebelumnya tidak beri duit raya, ia tidak akan dikunjungi lagi.

"Jika ini berlaku akhirnya nanti kita (ibu bapa) gagal memupuk serta mendidik mereka bahawa ziarah itu bertujuan mengeratkan siratulrahim," katanya yang juga Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ramlah menyarankan ibu bapa supaya sentiasa menekankan kepada anak-anak mereka bahawa tentang pentingnya menziarahi rumah saudara mara atau jiran pada usia mereka masih muda kerana jika tidak budaya kunjung mengunjung akan hilang satu masa kelak.

Bagi Noorhidayu Samsuddin, beliau mula memberikan duit raya kepada kanak-kanak sejak mula bekerja pada 2006 dan jumlah yang diberi adalah mengikut kemampuan.

"Pernah dengar mereka cakap jumlah yang diberi sedikit, lalu tegur semula (mereka) kata walaupun sedikit tapi tetap duit," katanya yang merupakan Penolong Penerbit Rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sementara itu, seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Su dari Pantai Dalam menarik perhatian dengan berkata golongan wanita dilihat lebih gemar menyediakan duit raya buat kanak-kanak berbanding lelaki.

"Saya tidak sediakan duit raya kerana semasa kecil tak pernah dapat duit raya, tapi duit raya untuk kanak-kanak bagi keluarga saya disediakan oleh isteri," katanya.

Inspektor Jabatan Penjara (Bahagian Parol) Muhd Kamal Al Bana pula berkata jumlah duit raya yang diberikan kepada kanak-kanak bergantung kepada 'rezeki' semasa sambil menambah setakat ini jumlah paling besar yang diberikan adalah RM5.

"Sudah menjadi tradisi dalam setiap perayaan khususnya kalau hari raya budak-budak mesti target mahu 'angpow' dan paling penting mahu berkongsi perasaan kegembiraan di Aidilfitri," katanya.

- Sumber JAKIM 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan